Monday, 13 May 2013

Al-Masihid Dajjal: Pemahaman Semula

 

http://1.bp.blogspot.com/-NWG3WFc3ikg/UZLjHI69kcI/AAAAAAAACTw/NB4I90qcJDw/s400/Radiotherapy-treatment.jpg

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang

 

Mukadimah

Sungguh menarik perhatian adanya persamaan kejadian yang terjadi di dunia kini. Di satu segi, kita melihat adanya tekanan kuasa Barat yang dilancarkan dengan rancangan yang teratur terhadap dunia Islam, dan usaha mereka yang keras untuk menghancurkan Islam, tetapi di lain segi, kita menemui sejumlah besar Hadis Nabi SAW yang meramalkan fitnah dan cubaan yang akan menimpa kaum Muslimin pada akhir zaman, ramalan yang hampir semuanya dipenuhi, berupa peristiwa yang menimpa dunia Islam sekarang ini. Lebih menghairankan lagi, kerana ramalan itu diucapkan pada ketika Islam berada dalam keadaan gemilang, dan seluruh dunia merasa gentar menghadapi pesatnya kemajuan Islam.

 

Bukan rahsia lagi, bahawa kini sedang berlangsung pergolakan sengit antara Barat dan Islam, khususnya antara kekuatan kebendaan menentang kekuatan spiritual. Pihak Barat menganggap kekuatan Islam sebagai ancaman yang berbahaya bagi peradaban kebendaannya, maka dengan dalil palsu ini mereka berusaha untuk menghancurkan Islam, agar mereka dapat menyelamatkan dunia daripada pengaruh politik Islam. Mereka jelas-jelas menyebut agama lain sebagai non-Kristian, tetapi terhadap agama Islam mereka dengan tegas menyebutkan sebagai anti-Kristian.

 

Akan tetapi alangkah sedihnya bahawa kaum Muslimin sendiri terlibat dalam permasalahan dalaman mengenai masalah-masalah kecil, sehingga mereka tidak sempat langsung memikirkan persoalan yang lebih penting.

 

Makna Dajjal

Perkataan Dajjal berasal daripada kata dajjala, bermaksud menutupi (sesuatu). Kamus Lisanul-'Arab mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal. Menurut satu pendapat, ia disebut Dajjal kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan. Pendapat lain mengatakan, kerana ia menutupi bumi dengan bilangannya yang besar. Pendapat ketiga mengatakan, kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran. Keempat, kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

 

Pendapat lain mengatakan, bahawa Dajjal itu suatu bangsa yang menyebarkan barang-barang dagangannya ke seluruh dunia, bermaksud menutupi dunia dengan barang dagangannya. Ada juga pendapat yang mengatakan, bahawa ia dipanggil Dajjal kerana mengatakan hal-hal yang bertentangan dengan hatinya, bermaksud ia menutupi maksud yang sebenar dengan kata-kata palsu.

 

Dajjal Menurut Al-Quran

Kata Dajjal tidak terdapat dalam Al-Quran, tetapi dalam Hadis sahih dijelaskan, bahawa sepuluh ayat pertama dan sepuluh ayat terakhir daripada surah Al-Kahfi melindungi manusia daripada fitnah Dajjal, jadi menurut Hadis ini, Al-Quran memberikan isyarat bahawa siapakah Dajjal itu. Mengenai hal ini dijelaskan dalam Kitab Hadis yang amat sahih sebagai berikut:

 

"Barang siapa menghafal sepuluh ayat pertama Surah Al-Kahfi, dia akan selamat daripada (fitnah) Dajjal."

 

"Barang siapa membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah Al-Kahfi, dia akan selamat daripada (fitnah) Dajjal."

 

Bacalah sepuluh ayat pertama dan sepuluh ayat terakhir surah Al-Kahfi, anda akan melihat sejelas-jelasnya bahawa yang dibicarakan dalam dua tempat tersebut adalah suatu umat yang mengatakan Tuhan mempunyai anak lelaki.

 

Mula-mula dihuraikan aspek keagamaan, yang pada ketika itu Nabi Muhammad SAW dikatakan sebagai orang yang memberi peringatan umum kepada sekalian manusia (ayat 2), lalu dikatakan sebagai orang yang memberi peringatan khusus kepada umat yang berkata bahawa Allah mengambil anak lelaki (ayat 4). Demikianlah bunyinya:

 

“Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya, Kitab. Dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok. Sebagai bimbingan lurus yang memberikan amaran akan azab seberat-beratnya dari sisiNya, dan memberikan berita gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik. Kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan juga untuk memberikan amaran kepada orang-orang yang berkata “Allah mengambil anak” Mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan pun mengenainya, dan tidak pula bagi datuk nenek mereka. Besar sungguh perkataan yang keluar dari mulut mereka. Mereka hanyalah mengatakan perkara yang dusta” (Surah Al-Kahfi:1-5)

 

Jelas sekali bahawa yang ditujukan oleh ayat tersebut ialah suatu umat, yang ajaran utama agamanya ialah Tuhan mempunyai anak lelaki. Dalam sepuluh ayat terakhir surah Al-Kahfi dihuraikan sejelas-jelasnya, bahawa umat ini mencapai hasil kegemilangan di dalam kehidupan dunia. Demikianlah bunyinya :

 

“(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup dari mengingatiKu, dan tidak dapat mendengar. Dan adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu, selain daripadaKu, dapat melindungi? Sesungguhnya Kami, Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang yang kafir itu sebagai tempat bertamu. Katakanlah “Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya di dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul lagi baik pada apa yang dilakukan” (Surah Al-Kahfi:101-104)

 

Ini adalah gambaran mengenai bangsa-bangsa Barat yang agama Kristian (Tuhan mempunyai anak lelaki) merupakan pegangan utama mereka, yang diramalkan dengan kata-kata yang jelas. Kemajuan duniawi adalah kebanggaan bangsa Barat, dan ciri khas inilah yang ditujukan oleh ayat tersebut. Mereka berlumba-lumba menghasilkan barang-barang perhiasan dunia, dan mereka begitu sibuk dalam urusan ini, sehingga penglihatan mereka terhadap nilai-nilai kehidupan yang tinggi, menjadi kabur sama sekali. Jadi, sepuluh ayat pertama dan sepuluh ayat terakhir surah Al-Kahfi menerangkan dengan jelas bahayanya ajaran Kristian mengenai anak lelaki Allah, dan mengenai kegiatan bangsa-bangsa Barat di lapangan kebendaan, dan inilah yang dimaksudkan dengan fitnah Dajjal.

 

http://3.bp.blogspot.com/-H0PVn7D7U_M/UZI5h_51z0I/AAAAAAAACR4/_0rrcK_IGwI/s400/Sport+Car+12.jpg

  

http://4.bp.blogspot.com/-e39Nom_UBts/UZI5igz_i7I/AAAAAAAACR8/cpadNMwBV8w/s400/barnhouse2.jpg

  

http://4.bp.blogspot.com/-FpA4jjZKMO8/UZI5ULUqc3I/AAAAAAAACRw/84-ylLuFEW4/s400/4-Simple-And-Helpful-Home-Decoration-Concepts.jpg

  

Dajjal Menurut Al-Hadis

Terdapat beberapa masalah penting yang harus dipertimbangkan sehubungan dengan gambaran Dajjal yang termuat dalam Al-Hadis. Yang pertama ialah bahawa ramalan Nabi Muhammad SAW mengenai kemunculan Dajjal itu didasarkan atas kasyaf. Sebuah Hadis sahih daripada Nawas bin Sam'an mengenai Dajjal, yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, terdapat kata-kata sbb:

 

"Seakan-akan ia (Dajjal) mirip dengan "Abdul-'Uzza"

 

Kata seakan-akan ini jelas sekali menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW menggambarkan keadaan yang beliau lihat dalam kasyaf; Hal ini memberi keyakinan kepada kita bahawa ramalan beliau mengenai Dajjal itu berasal daripada kasyaf. Tetapi pada waktu menceritakan ramalan-ramalan itu, biasanya tidak dijelaskan pula bahawa kenyataan itu dilihat dalam kasyaf.

 

Apa-apa yang dilihat dalam kasyaf itu biasanya harus ditafsirkan. Al-Quran sendiri menceritakan beberapa penyataan, yang maksudnya berbeza sekali dengan makna kalimatnya. Misalnya, dalam mimpi Nabi Yusuf melihat matahari, bulan dan sebelas bintang bersujud kepada beliau. Tetapi makna penyataan ini yang sebenarnya ialah bahawa Allah akan menaikkan darjat dan kedudukan beliau.

 

Selanjutnya dalam mimpi Raja melihat tujuh ekor lembu kurus menelan tujuh ekor lembu gemuk. Adapun bermaksud ialah simpanan gandum selama tujuh tahun musim baik akan habis dimakan dalam tujuh tahun musim kemarau.

 

Dalam Hadis juga diriwayatkan Penyataan Nabi Muhammad SAW yang maksudnya berbeza sekali dengan kejadian yang dilihat dalam mimpi. Misalnya, dua gelang yang beliau lihat dalam mimpi, bermaksud dua Nabi palsu; Tangan panjang bermaksud dermawan. Selain itu, pada umumnya orang mengakui bahawa ramalan-ramalan itu diliputi dengan kalam ibarat.

 

Pengaruh Barat Itu Sama Dengan Fitnah Dajjal

Sebagaimana kami jelaskan sebelum ini, Al-Quran tidak menyebutkan nama Dajjal secara khusus. Tetapi dalam Hadis sahih dijelaskan bahawa barang siapa membaca surah Al-Kahfi, dia akan diselamatkan daripada fitnah Dajjal, padahal surah ini khusus membahas agama Kristian dan ajarannya yang palsu. Terutama sekali sepuluh ayat pertama dan sepuluh ayat terakhir daripada surah ini, khusus dibahaskan kepercayaan dan kegemilangan bangsa-bangsa Barat. Ini menunjukkan sejelas-jelasnya bahawa menurut Al-Quran dan Al-Hadis, fitnah Dajjal itu hanya sebutan lain sahaja bagi pengaruh Barat.

 

Dengan sebulat suara semua kitab Hadis mengumumkan bahawa fitnah Dajjal adalah fitnah yang paling besar, sehinggakan kaum Muslimin diajarkan agar pada tiap-tiap kali bersolat berdoa kepada Allah untuk diselamatkan daripada fitnah Dajjal: "Ya Allah, aku mohon perlindungan Dikau daripada fitnah Masih ad-Dajjal". Selanjutnya dijelaskan pula dalam Hadis bahawa setiap Nabi memperingatkan umatnya terhadap fitnah Dajjal. Dalam Hadis dinyatakan sejelas-jelasnya sbb:

 

"Tidak ada fitnah yang lebih besar daripada fitnah Dajjal, semenjak terciptanya Adam hingga Hari Kiamat"

 

Semua kitab Hadis mempunyai pendapat yang sama mengenai hal ini, dan peringatan ini diulang berkali-kali dalam berbagai bentuk kalimat. Oleh kerana itu timbul pertanyaan, mengapa Al-Quran tidak membicarakan peristiwa yang digambarkan dengan tegas oleh Nabi Muhammad SAW sebagai fitnah yang paling besar?

 

Sebelum kami menjawab pertanyaan ini, ada baiknya kita mengkaji terlebih dahulu sifat dua jenis fitnah yang kaum Muslimin diperingatkan akan terjadi pada akhir zaman. Pertama mengenai fitnah Yakjuj dan Makjuj, ini dihuraikan sejelas-jelasnya, baik dalam Al-Quran mahupun dalam Hadis; Akan tetapi Al-Quran tidak menerangkan mengenai Dajjal, melainkan sebagai penggantinya, Al-Quran hanya menerangkan fitnah besar berupa ajaran Kristian Barat mengenai Ketuhanan Nabi Isa. Dengan kata-kata yang tegas, Al-Quran mencela ajaran ini sebagai fitnah yang paling besar bagi manusia:

 

“Langit nyaris-nyaris pecah kerana itu, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, dan gunung-ganang nyaris-nyaris runtuh, Kerana mereka mendakwa mengatakan Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil anak..” (Surah Maryam:90-91)

 

Selanjutnya Al-Quran menerangkan, bahawa ajaran semacam itu tidak pernah diajarkan oleh Nabi Isa. Bahkan sebenarnya, ajaran itu bertentangan dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Isa.

 

"Dan ketika Allah berfirman “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia “Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain Allah?” Dia menjawab “Maha Suci Engkau! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang bukan hakku. Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui akan apa yang ada pada diriMu. Sesungguhnya Engkau, Engkaulah jua Yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib. Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya iaitu “Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu” Sesungguhnya aku menjadi pengawas terhadap mereka selama aku berada dalam kalangan mereka. Kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, Engkaulah sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Al-Maidah:116-117)

 

Jadi menurut Al-Quran, ajaran mengenai Ketuhanan Nabi Isa tidak diajarkan oleh beliau, melainkan diajarkan oleh Antichrist atau Dajjal. Walaupun Al-Quran tidak menyebut-nyebut nama Dajjal, namun Al-Quran membicarakan ajaran Dajjal yang sesat berupa ajaran Kristian Barat mengenai anak lelaki Allah.

 

Sekiranya kami memerhatikan Hadis yang bersangkutan, inipun membenarkan apa yang tersebut di atas. Dalam perhubungan ini, hal yang terlebih dahulu menarik perhatian kami adalah, bahawa Hadis yang menerangkan turunnya Al-Masih, hampir semuanya (Hadis-Hadis) menyandarkan satu tugasan kepada beliau, iaitu "mematahkan kayu palang" (yaksirus-saliba).

 

Jarang sekali Hadis yang menerangkan, bahawa beliau ditugaskan untuk membunuh Dajjal. Hal ini memang pelik sekiranya difikirkan bahawa menurut Hadis, fitnah Dajjal itu fitnah yang paling besar di dunia. Fitnah ini hanya akan disingkirkan oleh tangan Al-Masih. Akan tetapi pada ketika membicarakan turunnya Al-Masih, Hadis hanya menerangkan bahawa tugas beliau yang paling besar ialah mematahkan kayu palang; ini menunjukkan sejelas-jelasnya bahawa mematahkan kayu palang adalah bermaksud membunuh Dajjal.

 

Sungguh mengesankan bahawa ketika Hadis menerangkan fitnah zaman akhir, maka fitnah yang paling besar ialah fitnah Dajjal; Tetapi ketika Hadis menerangkan ubat yang dapat membanteras fitnah itu, maka hanya disebut patahnya kayu palang. Mempertimbangkan bahawa tugas utama Al-Masih ialah mematahkan kayu palang, maka jelaslah bahawa fitnah Dajjal dan bermaharajalelanya ajaran Kristian Barat adalah, dua sebutan belaka bagi satu idea yang sama.

 

Mengapa Dajjal Disebut Al-Masih

Dajjal disebut Al-Masih, Mengapa? Kerana Dajjal selalu menunaikan tugasnya atas nama "Al-Masih", yang mana julukan ini diberikan oleh Allah kepada Nabi Isa berdasarkan wahyuNya. Diberikannya julukan Al-Masih kepada Dajjal menunjukkan, bahawa Dajjal akan menunaikan pekerjaan atas nama orang suci ini, dan inilah sebenarnya yang menyebabkan ia disebut Dajjal atau penipu, kerana ia menggunakan nama "Al-Masih", seorang Nabi dan hamba Allah yang tulus, tetapi ia berbuat sesuatu yang bercanggah sama sekali dengan ajaran beliau (Nabi Isa a.s).

 

Al-Masih Isa mengajarkan bahawa Allah itu Esa, dan tidak ada Tuhan selain Dia yang wajib disembah; Tetapi Dajjal mengangkat Nabi Isa itu sendiri sebagai Tuhan. Selanjutnya, Al-Masih Isa mengajarkan bahawa semua Nabi adalah hamba Allah yang tulus, tetapi Dajjal mengutuk semua Nabi yang suci sebagai orang berdosa. Mengapa demikian? Kerana jika para Nabi Utusan Allah ini tidak dikutuk sebagai orang berdosa, maka tidak perlu timbul anak lelaki Allah yang tidak berdosa, untuk menebus dosa sekalian manusia.

 

Al-Masih Isa mengajarkan bahawa setiap orang akan mendapat ganjaran atau hukuman sesuai perbuatan yang dia lakukan, tetapi Dajjal yang mendakwa Al-Masih mengajarkan bahawa anak lelaki Allah telah cukup menebus dosa umat Kristian. Al-Masih Isa mengajarkan bahawa orang kaya tidak dapat masuk ke dalam kerajaan Syurga, tetapi Dajjal yang mengaku Al-Masih mengajarkan supaya manusia mengumpul kekayaan. Ringkasnya, kitab-kitab Hadis menggunakan julukan "Al-Masihid Dajjal" hanyalah untuk menjelaskan, bahawa Dajjal adalah nama lain belaka bagi agama Kristian Barat sekarang ini. Nama Al-Masih dan agama Al-Masih hanyalah digunakan sebagai umpan untuk menutupi penipuan (Dajjal) yang ada di belakang itu.

 

Selanjutnya, oleh kerana dalam urusan duniawi, mereka lebih maju daripada bangsa-bangsa lain, maka bangsa lain mengikuti mereka secara membuta-tuli, kerana terpikat oleh kemajuan-kemajuan duniawi yang dibawa oleh mereka.

 

Jadi, bangsa-bangsa lain di dunia disesatkan oleh bangsa-bangsa Barat, bukan sahaja dengan pengertian yang salah mengenai anak lelaki Allah, melainkan pula dengan cita-cita mengejar-ngejar kebendaan secara membuta-tuli, dengan mengabaikan sama sekali nilai-nilai hidup yang lebih tinggi. Oleh kerana itu, dalam Hadis, mereka diberi nama Dajjal, atau penipu ulung.

 

Hadis Mengenai Dajjal

Hadis mengenai Dajjal ada banyak sekali, dan diriwayatkan oleh sejumlah besar Sahabat Nabi, sehingga tidak perlu dipersoalkan lagi mengenai keasliannya; Walaupun masih perlu dipersoalkan mengenai adakah telah dipenuhi ramalan itu secara terperinci. Hadis-Hadis itu termuat dalam kitab-kitab Hadis yang amat sahih, bahkan yang termuat dalam kitab Bukhari dan Muslim tidak sedikit jumlahnya.

 

Hadis mengenai Dajjal yang termuat dalam Musnad Imam Ahmad bin Hambal berjumlah seratus, dan di antara yang meriwayatkan Hadis; terdapat sahabat terkenal, seperti sayyidina Abu bakar, 'Ali, Siti 'Aisyah, Sa'd bin Abi Waqqas; Abdullah bin Abbas, Abdullah bin 'Umar, Abdullah bin 'Amr, Abu Hurairah, Abu Said Khudri, Anas bin Malik, Jabir, Hisyam bin Amir, Samrah bin Jundab, Ubayya bin Ka'b, Safinah, Imran bin Husain, Nawas bin Sam'an, Ummu Syarik, Fatimah binti Qais, Ubadah bin Samit, Abu Ubaidah bin Al-Jarrah, Asma' binti Yazid, dan Mughirah bin Syu'bah.

 

Masih banyak Sahabat lagi yang meriwayatkan Hadis mengenai Dajjal. Para Sahabat ini semua sependapat bahawa Nabi Muhammad SAW berkali-kali menceritakan Dajjal, sehingga tidak perlu diragukan lagi mengenai adanya keyakinan bahawa sumber yang memberikan ramalan tersebut adalah Nabi Muhammad SAW itu sendiri.

 

Gambaran Dajjal Menurut Al-Hadis

Segala macam keistimewaan yang kami lihat pada peradaban Barat sekarang ini, semuanya sesuai dengan ciri-ciri Dajjal yang dilihat oleh Nabi Muhammad SAW dalam kasyaf. Memang benar bahawa bangsa-bangsa ini mempunyai sedikit perbezaan satu sama lain, tetapi terdapat satu perkara yang semuanya sama. Dan ciri yang sama inilah yang digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam memberi gambaran mengenai Dajjal.

 

Kami hanya akan mengutip Hadis-Hadis yang menghuraikan ciri-ciri Dajjal. Marilah kita mulakan dengan Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari :

 

1.      "Dan aku melihat orang yang berambut ikal pendek, yang mata-kanannya buta. Aku bertanya: Siapakah ini? Lalu dijawab, bahawa ia adalah Masihid - Dajjal" (Bukhari 77:68,92)

 

http://4.bp.blogspot.com/-m4SJz8S7mtk/UZLRvsUsb7I/AAAAAAAACS8/Rj4Rz7DbCso/s400/rambut.jpg

 

2.      "Awas! dia buta sebelah… dan di antara dua matanya, tertulis 'Kafir'…" (Bukhari 93:27)

 

Adapun disebut bahawa mata kanan Dajjal buta, dan pada dahinya tertulis kaf, fa' dan ra' atau kafir, ini menggambarkan keadaan rohani Dajjal yang sebenarnya. Sebagaimana telah kami jelaskan, Dajjal menggambarkan suatu bangsa. Sebagai bangsa, tidak mungkin semuanya buta mata jasmaninya.

 

Selain itu, Dajjal yang digambarkan buta mata kanannya, mata kiri Dajjal digambarkan bersinar gemerlapan bagaikan bintang. Penjelasan yang diberikan oleh Imam Raghib mengenai mata Dajjal yang buta sebelah kanannya, sungguh ilmiah sekali. Pada ketika menjelaskan makna kata Al-Masih, beliau menerangkan bahawa kata masaha bermaksud menghapus sesuatu, dan beliau menambahkan keterangan sbb:

 

"Diriwayatkan bahawa mata kanan Dajjal hilang penglihatannya, sedangkan Nabi Isa mata kiri beliaulah yang hilang penglihatannya; dan ini bermaksud bahawa Dajjal tidak mempunyai sifat-sifat akhlak yang tinggi, sebagai contohnya kearifan, kebijaksanaan dan rendah diri; sedangkan Nabi Isa tidak mempunyai kejahilan, ketamakan, kerakusan dan sebagainya yang termasuk jenis akhlak yang rendah"

 

Jadi, gambaran Dajjal buta mata kanannya janganlah ditafsirkan secara harfiah, melainkan secara kalam ibarat, iaitu harus diertikan bahawa Dajjal tidak mempunyai akhlak yang baik.

 

Bahawa dua mata manusia itu, yang satu digunakan untuk melihat hal-hal yang berhubungan dengan kerohanian dan agama, dan yang satu lagi digunakan untuk melihat hal-hal yang berhubungan dengan kebendaan dan keduniaan. Oleh kerana hal-hal yang berhubungan dengan agama dan kerohanian itu lebih tinggi kedudukannya daripada hal-hal yang berhubungan dengan kebendaan dan keduniaan, maka buta mata kanan Dajjal bermaksud bahawa Dajjal sedikit sekali perhatiannya terhadap hal-hal yang berhubungan dengan agama atau kerohanian, dan ini sesuai sekali dengan apa yang dialami oleh bangsa-bangsa Barat hari ini.

 

Seluruh perhatian mereka ditujukan kepada hal-hal yang berhubungan dengan kebendaan dan keduniaan dan kemajuan mereka dalam bidang ini tidak ada bandingannya. Inilah yang dimaksudkan dengan apa yang dihuraikan dalam Hadis, bahawa mata kiri Dajjal bersinar gemerlapan bagaikan bintang. Bermaksud, Dajjal mampu melihat segala macam barangan duniawi, yang bangsa-bangsa lain tidak mempunyai pengertian mengenai itu. Tetapi mata rohani Dajjal tidak mempunyai penglihatan yang tajam, kerana semua kekuatan Dajjal dihabiskan untuk kepentingan urusan duniawi. Kejayaan Dajjal yang tidak ada taranya dalam urusan duniawi mengakibatkan buta sebelah. Penjelasan ini sungguh mengagumkan dan sesuai sekali dengan apa yang dikatakan oleh Al-Quran  mengenai bangsa-bangsa Barat:

 

"(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya di dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul lagi baik pada apa yang dilakukan” (Surah Al-Kahfi:104)

 

Hadis Nabi SAW melukiskan hal ini dengan kalam ibarat, bahawa mata kiri Dajjal, iaitu mata duniawi bersinar gemerlapan bagaikan bintang. Adapun keadaan rohani bangsa-bangsa Dajjal, Allah berfirman sbb:

 

"Mereka adalah orang-orang yang ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya" (Surah Al-Kahfi : 105)

 

Hadis Nabi menjelaskan hal ini dengan caranya tersendiri, iaitu bahawa mata kanan Dajjal tidak mempunyai kekuatan untuk memerhatikan ayat-ayat Tuhan.

 

Tanda Dajjal yang lain, iaitu tulisan kaf, fa', ra' atau kafir pada dahinya ini berkaitan pula dengan keadaan rohaninya. Jika orang berkata, bahawa pada dahi seseorang terdapat tulisan malas, ini samalah bermaksud dengan mengatakan, bahawa sifat malas itu adalah fakta senyata-nyatanya bagi dia. Maka daripada itu, huraian Hadis bahawa pada dahi Dajjal terdapat tulisan kafir, ini hanyalah bermaksud bahawa kekafiran itu merupakan kenyataan yang senyata-nyatanya bagi dia.

 

Kata-kata Hadis itu sendiri telah menerangkan; Bahawa demikian itulah nyatanya. Pertama, Hadis menerangkan bahawa tiap-tiap mukmin dapat membaca tulisan itu; jadi bukan tiap-tiap orang dapat membaca tulisan itu melainkan hanya orang mukmin sahaja. Lalu ditambahkan kata penjelasan mengenai orang mukmin itu, iaitu, "baik dia buta huruf atau tahu menulis." Bermaksud, tiap-tiap orang mukmin dapat memahami tulisan itu, baik dia tahu menulis atau tidak.

 

Telah jelas bahawa tulisan yang dapat dibaca oleh tiap-tiap orang mukmin, baik dia dapat menulis atau buta huruf, tidak mungkin menuju kepada kata-kata atau huruf. Jika tulisan itu menuju kepada kata-kata atau huruf, nescaya tidak dipersoalkan lagi apakah pembacanya mukmin atau kafir, demikian pula tidak perlu dinyatakan bahawa orang mukmin dapat membaca tulisan itu sekalipun dia seorang yang buta huruf.

 

Kepandaian membaca tulisan, tidak ada kaitannya dengan urusan iman. Setiap orang yang tidak buta huruf pasti dapat membaca tulisan, sedangkan orang yang buta huruf, sekalipun dia orang mukmin sejati, dia tetap tidak dapat jua membaca tulisan. Oleh kerana itu, tulisan yang dimaksudkan bukanlah tulisan biasa, melainkan mewakili sifat peribadi seseorang.

 

Apakah Dajjal Itu Orang Atau Bangsa?

Memang benar bahawa kebanyakan Hadis menggambarkan seakan-akan Dajjal itu orang yang bermata satu, yang di dahinya terdapat tulisan Arab yang terdiri daripada huruf  kaf, fa' dan ra' (atau kafara, bermaksud kafir), dan yang membawa keldai, sungai, dan api. Tetapi jika Hadis-Hadis itu kita sesuaikan dengan huraian Al-Quran, maka akan nampak dengan jelas, bahawa Dajjal bukanlah nama orang, melainkan suatu bangsa, atau lebih tepat lagi, segolongan bangsa.

 

Sebagaimana telah kami jelaskan sebelum ini, fitnah Dajjal itu bersumber pada menangnya pengaruh Barat. Ada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang membuktikan bahawa Dajjal itu bukan orang melainkan bangsa, sebagaimana Rom dan Parsi yang dihuraikan dalam Hadis itu bukanlah tempat melainkan bangsa. Hadis itu berbunyi sbb:

 

"Rasulullah SAW bersabda: Kamu akan bertempur dengan Jazirah Arab, dan Allah akan memberi kemenangan kepada kamu, kemudian kamu akan bertempur dengan Parsi, dan Allah akan memberi kemenangan kepada kamu; Kemudian kamu akan bertempur dengan Rom, dan Allah akan memberi kemenangan kepada kamu; Kemudian kamu akan bertempur dengan Dajjal, dan Allah akan memberi kemenangan kepada kamu".

 

Di sini pertempuran dengan Dajjal dihuraikan dengan kalimat yang sama seperti pertempuran dengan Arab, Parsi dan Rom. Ini menunjukkan bahawa Dajjal adalah bangsa, seperti halnya Arab, Parsi dan Rom. Boleh jadi yang diisyaratkan di sini ialah Perang Salib, tetapi mungkin pula mengisyaratkan peristiwa yang terjadi di dunia pada zaman sekarang. Namun satu hal telah pasti, iaitu bahawa menurut Hadis ini, Dajjal bermaksud bangsa atau segolongan bangsa; Seperti halnya Parsi atau Rom.

 

Tempat Tinggal Dajjal Pada Zaman Nabi

Sebuah Hadis menerangkan, bahawa pada suatu hari selepas solat berjemaah, Nabi Muhammad SAW menahan para Sahabat dan berkata sbb: "Tamim Dari, seorang Kristian yang memeluk Islam, dia menceritakan kepadaku mengenai Dajjal, yang sesuai dengan apa yang pernah aku ceritakan kepada kamu". Lalu beliau menceritakan kisah tersebut sbb:

 

"Pada suatu hari dia berlayar dengan beberapa orang daripada kabilah Lakhm dan Judham. Setelah berlayar sebulan lamanya, mereka mendarat di sebuah pulau, di mana mereka berjumpa untuk pertama kalinya dengan seekor makhluk yang pelik, yang menamakan dirinya Jassasah (makna aslinya mata-mata). Jassasah memberitahukan kepada mereka mengenai seorang lelaki yang tinggal dalam Gereja. Kemudian mereka mengunjungi orang itu di dalam Gereja, yang nampak seperti raksasa, yang tangannya diikat pada lehernya, dan kakinya diikat dengan rantai, dari lutut hingga buku lali. Mereka bercakap-cakap dengan orang ini, yang tiba-tiba dia bertanyakan kepada mereka mengenai Nabi SAW, dan dia mengakhiri percakapannya dengan ucapan: 'Aku adalah Masihid Dajjal, dan aku berharap semoga aku segera dibebaskan, lalu aku dapat menjelajahi seluruh dunia, kecuali Makkah dan Madinah".

 

Satu perkara yang telah pasti ialah seluruh kisah ini bukanlah kejadian biasa, melainkan sebuah kasyaf. Adapun bukti bahawa kejadian itu terjadi dalam kasyaf ialah adanya kenyataan bahawa Dajjal bertanya kepada mereka sbb: "Ceritakanlah kepadaku mengenai Nabi bangsa Ummi (bangsa Arab), apakah yang dia kerjakan".

 

Pertanyaan mereka dijawab sbb: "Beliau meninggalkan Makkah dan sampai di Madinah". Dalam Hadis lain, Dajjal diriwayatkan bertanya sbb: "Orang ini yang muncul di antara kamu, apakah yang dia kerjakan?" (Kanzul-Ummal jilid VII, hal 2024)

 

Bagaimana mungkin Dajjal dapat mengetahui bahawa Nabi bangsa Arab telah muncul? Apakah Dajjal telah menerima wahyu? Sudah tentu tidak. Dan pula tidak mungkin bahawa ini adalah perkara tekaan.

 

Kejadian-kejadian lain yang diceritakan dalam Hadis ini, semuanya menguatkan pendapat bahawa ini terjadi dalam kasyaf. Contohnya, siapakah yang mengikat tangan Dajjal pada lehernya? Siapakah yang mengikat kakinya dengan rantai? Bolehkah kami menganggap bahawa Dajjal dilahirkan dalam keadaan sedemikian? Mengapa Jassasah tidak melepaskan rantai Dajjal? Segala persoalan yang rumit ini hanya dapat dirungkai apabila kami menganggap kisah ini berasal daripada kasyaf Tamim Dari.

 

Segala sesuatu yang diketahui oleh Nabi SAW yang berkait dengan masalah ini juga berlandaskan kasyaf. Allah tidak pernah membawa beliau ke sebuah pulau, dan menyuruh beliau melihat Dajjal dengan mata-kepala sendiri. Sebaliknya, hanya melalui kasyaf sahajalah, beliau melihat sifat-sifat Dajjal. Beliau menyajikan kasyaf Tamim Dari ini, sekadar untuk memperkuat apa yang diketahui oleh beliau dalam kasyaf. Hadis ini memberikan petunjuk kepada kita, mengenai tempat tinggal Dajjal:

 

1.      Ia tinggal di sebuah pulau.

2.      Lokasi pulau ini sejauh satu bulan pelayaran dari Syria.

 

Masih terdapat satu lagi yang kita dapat ketahui daripada Hadis ini, iaitu pada zaman Nabi, Dajjal telah ada, tetapi ia belum diizinkan keluar. Hal ini akan kami huraikan nanti dengan panjang lebar.

 

Dua catatan di atas memberikan petunjuk sejelas-jelasnya akan tempat tinggal Dajjal. Telah jelas bahawa Barat didiami juga oleh bangsa-bangsa lain, tetapi bangsa Inggeris mempunyai kekuasaan dan kebesaran yang tidak pernah jatuh ke tangan bangsa lain di benua itu. Itulah sebabnya mengapa benua Barat disebutkan secara khusus sebagai tempat tinggal Dajjal.

 

Agama Dajjal

Terdapat sebuah Hadis yang menerangkan bahawa kaum Yahudi akan menyertai Dajjal. Daripada Hadis ini orang menyangka bahawa Dajjal akan memeluk agama Yahudi. Akan tetapi Al-Quran menerangkan sejelas-jelasnya bahawa bangsa Dajjal mengakui Allah mempunyai anak lelaki. Oleh sebab itu tidak diragukan lagi bahawa bangsa Dajjal adalah bangsa Barat yang mana Kristian merupakan agama mereka.

 

Kelak akan kami jelaskan apakah yang dimaksudkan kaum Yahudi menyertai Dajjal. Bahkan kaum Yahudi akan menyertai Dajjal tidaklah bermaksud bahawa Dajjal adalah kaum Yahudi. Kerana jika bermaksud demikian, bagaimana pula pengertian Hadis lain yang menerangkan bahawa sebahagian umat Nabi Muhammad SAW akan mengikuti Dajjal dan menjadi korban tipu dayanya. Adapun Hadis itu berbunyi sbb :

 

"Tujuh puluh ribu umatku akan mengikuti Dajjal" (Misykat, ha1.477)

 

Sebagaimana telah kami jelaskan, julukan Masihid-Dajjal itu menunjukkan, bahawa bangsa Dajjal akan mengaku sebagai pengikut Masih-Isa. Hal ini dijelaskan sejelas-jelasnya dalam Hadis Tamim Dari tersebut di atas. Isyarat supaya mengunjungi orang yang berada di dalam Gereja itu seperti yang dijelaskan dalam Hadis itu, adalah membawa maksud yang penting.

 

Telah jelas bahawa Gereja adalah simbol agama Kristian, dan raksasa yang menjadi simbol makhluk yang terdapat dalam Gereja itu tidak lain ialah pendeta Kristian. Adapun Jassasah (mata-mata Dajjal) hanya mempunyai satu tugas, iaitu menganjurkan supaya orang ramai pergi ke Gereja, bermaksud supaya menjadi orang Kristian. Berikut ini adalah ucapan Jassasah yang sebenarnya: "pergilah ke gereja ini,".

 

Tempat Munculnya Dajjal

Agak menarik perhatian bahawa menurut Hadis Tamim Dari, Dajjal tinggal di sebuah pulau yang terletak di sebelah Barat Syria, sedang tempat munculnya dikatakan oleh Hadis lain, berada di Timur. Lengkapnya, Hadis ini berbunyi sbb:

 

"Tidak! Ia (Dajjal) akan muncul di sebelah Timur; Tidak, ia akan muncul di sebelah Timur; Tidak, ia akan muncul di sebelah Timur" (Kanzul-'Ummal jilid VII, halaman 2988)

 

Sebelum kami menerangkan secara terperinci, marilah kita tinjau terlebih dahulu Hadis-Hadis lain yang membawa maksud yang sama, iaitu bahawa Dajjal akan muncul di Timur. Salah satu Hadis berbunyi sbb :

 

"Nabi Muhammad SAW menunjuk hampir dua puluh kali ke arah Timur" (Kanzul-'Ummal, jilid VIl, halaman 2991 )

 

Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim mengatakan: "Tidak! Ia akan muncul di Timur" diikuti dengan kalimat: "Beliau menunjuk dengan tangannya ke arah Timur". Jadi jika di suatu Hadis dikatakan bahawa tempat tinggal Dajjal ialah sebuah pulau di Barat, tetapi di lain Hadis dijelaskan bahawa tempat munculnya Dajjal, atau lebih tepat lagi, tempat munculnya fitnah Dajjal ialah di Timur.

 

Ini menunjukkan bahawa bermaharajalelanya Dajjal akan membahayakan bangsa-bangsa di Timur. Adapun kenyataan yang tidak dapat dibantah lagi, bahawa fitnah Dajjal tidak akan menimpa bangsanya sendiri, bahkan mereka akan memperoleh keuntungan daripada hasil perompakan di Timur. Jadi yang dimaksudkan munculnya Dajjal di Timur ialah bermaharajalelanya fitnah Dajjal di negara-negara Timur dengan jalan memperhambakan penduduknya, baik jasmani mahupun rohani, secara zahir mahupun batin.

 

Menurut apa yang dijelaskan dalam Hadis, jelas sekali bahawa pada zaman Nabi, Dajjal itu telah ada, akan tetapi pada waktu itu tangan dan kakinya dirantai. Inilah gambaran yang sebenarnya bagi bangsa-bangsa Barat pada ketika itu. Mereka mengurungkan diri dalam tanah air mereka sendiri, sehingga pada suatu ketika, mereka mengalir ke seluruh dunia untuk menakluk dan menjajah negara-negara lain, sehingga mereka benar-benar menguasai, atau setidak-tidaknya menyebarkan pengaruhnya terhadap negara-negara itu, sehingga gerak-geri negara-negara itu dipimpin dan diawasi oleh bangsa-bangsa Barat.

 

Itulah sebabnya mengapa dalam Hadis dijelaskan bahawa Dajjal mengaku Tuhan, kerana segala sesuatu di dunia dikerjakan menurut perintah Dajjal, seakan-akan dialah yang menguasai dan menentukan nasib bangsa-bangsa lain. Inilah apa yang dimaksudkan oleh Hadis lain yang menerangkan bahawa Dajjal ialah yang menentukan hidup-matinya manusia. Dengan perkataan lain, Dajjal akan meninggikan dan merendahkan darjat bangsa-bangsa lain menurut apa yang dianggap sesuai dengan tujuannya.

 

Fitnah Yang Paling Besar

Dalam Sahih Muslim terdapat sebuah Hadis yang berbunyi sbb: "Semenjak terciptanya manusia hingga kedatangan Hari Kiamat, tidak ada fitnah lebih besar daripada fitnah Dajjal" (Misykat, hal. 472)

 

Kata-kata seperti itu, terdapat juga dalam kitab Hadis yang lain. Misalnya, dalam sebuah Hadis, Nabi SAW diriwayatkan bersabda sbb : "Wahai manusia! Sejak Allah menciptakan bani Adam, tidak ada fitnah di muka bumi yang lebih besar daripada fitnah Dajjal" (Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2028)

 

Hadis-Hadis tersebut membuktikan bahawa fitnah Dajjal itu tidak lain ialah bermaharajalelanya pengaruh Barat sekarang ini. Kenyataan menunjukkan bahawa sejarah umat manusia tidak dapat menonjolkan fitnah lain yang lebih besar daripada itu.

 

Tidak dinafikan dalam sejarah pernah terjadi suatu bangsa menundukkan bangsa lain dan menguasai aspek kehidupan mereka, namun contoh penjajahan yang menyeluruh seperti yang kita sedang saksikan sekarang ini yang berupa bermaharajalelanya imperialis dan kebudayaan Barat di seluruh dunia, menguatkan lagi bukti. Daratan dan lautan semuanya dikuasai oleh imperialis Barat.

 

Demikian pula kita dapat melihat kegiatan kaum imperialis Barat yang telah memperhambakan bangsa-bangsa lain di dunia. Yang lebih istimewa lagi ialah mereka memiliki segala jenis senjata yang dengannya, orang-orang dapat tersesat dari jalan yang benar dan jalan kesucian. Di sebelah sini, mereka menyesatkan orang ramai melalui sistem pendidikan, dan di sebelah sana pula, mereka mencapai tujuan mereka melalui penyebaran agama; kadang-kadang untuk mencapai tujuan mereka, mereka melumpuhkan jiwa manusia dengan memberikan kepada mereka kemewahan dan kesenangan jasmani; dan kadang-kadang diberikan kepada mereka hiburan-hiburan yang dapat melupakan rohani mereka sama sekali.

 

Sering pula ilmu pengetahuan mereka digunakan untuk menghancurkan rohani umat manusia. Pendek kata, di seluruh sejarah manusia, fitnah Dajjal tidak ada taranya, dan sabda Nabi SAW bahawa tidak ada fitnah yang lebih besar daripada fitnah Dajjal, ini dipenuhi berupa bermaharajalelanya pengaruh Barat, yang bukan sahaja membahayakan aspek kehidupan jasmani, bahkan membahayakan aspek kehidupan moral dan rohani.

 

Tanda-Tanda Dajjal

Berikut ini kami kutipan beberapa Hadis yang menerangkan tanda-tanda yang mengiringi kemunculan Dajjal. Adapun makna tanda-tanda itu akan kami jelaskan kelak.

 

                               I.            Syurga dan Neraka Dajjal

"Ia (Dajjal) akan datang dengan membawa semacam syurga dan neraka; dan apa yang ia katakan syurga itu sebenarnya, neraka" (Misykat, halaman 473)

 

"Dan ia akan membawa air dan api. Dan apa yang manusia melihatnya air, itu sebenarnya api yang menghanguskan; dan apa yang manusia melihatnya api, itu sebenarnya air tawar yang sejuk" (Misykat, halaman 473)

 

"Ia akan membawa api dan sungai dan barang siapa jatuh dalam apinya, ia akan memperoleh ganjaran dan disingkirkan bebannya." (Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2975)

 

"la akan membawa gunung roti dan sungai penuh air "(Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2985).

 

"Ia membawa dua sungai, yang satu penuh air, dan satu lagi penuh api" (idem, halaman 2985)

 

"Dajjal akan muncul dengan membawa sungai dan api; barang siapa masuk dalam sungainya; dia akan memikul beban dan dilenyapkan ganjarannya; dan barang siapa masuk dalam apinya, akan memperoleh ganjaran dan dihilangkan bebannya" (idem, halaman 2029)

 

"Di antara fitnah Dajjal ialah bahawa ia akan membawa syurga dan neraka; adapun neraka Dajjal ialah syurga, dan syurga Dajjal ialah Neraka. Maka barang siapa diuji dengan neraka Dajjal, hendaklah dia memohon pertolongan Allah sambil membaca permulaan surah Al-Kahfi, maka neraka akan menjadi dingin dan damai" (idem, halaman 2028)

 

"Dan ia akan membawa semacam syurga dan neraka. Dan syurga Dajjal penuh dengan asap, sedangkan neraka Dajjal adalah kebun yang menghijau" (idem, halaman 2074)

 

Hadis yang lain berbunyi:

 

"Sesungguhnya ia akan membawa syurga dan neraka. Adapun neraka Dajjal ialah syurga, dan syurga Dajjal ialah Neraka. Maka barang siapa diuji dengan neraka Dajjal, hendaklah dia menutup matanya dan memohon pertolongan Allah, dan neraka itu akan dingin dan damai" (idem, halaman 2079)

 

"Bagaimana perasaan kamu jika kamu diuji oleh seseorang yang sungai-sungai dan buah-buahan di bumi akan dibuat tunduk kepadanya" (idem, halaman 2090)

 

"Ia akan menjelajah dengan membawa dua gunung. Yang satu, penuh dengan pohon, buah-buahan dan air, dan yang lain, penuh dengan api dan asap. Ia berkata: Ini adalah syurga, dan ini adalah neraka" (idem, halaman 2110)

 

                            II.            Kecepatan dan kenderaan Dajjal

"Kami bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah cepatnya perjalanan Dajjal di muka bumi? Beliau menjawab: seperti cepatnya awan ditiup angin" (Misykat bab Dajjal)

 

"Bumi akan digulung untuknya; ia menggenggam awan di tangan kanannya, dan mendahului matahari di tempat terbenamnya; lautan hanya sedalam buku lalinya; di hadapannya adalah gunung yang penuh asap" (Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2998)

 

"Ia akan melompat-lompat di antara langit dan bumi" (Abu Dawud)

 

"Dajjal akan muncul dengan menaiki keldai putih; yang jarak antara dua telinganya adalah tujuh puluh ela" (Misykat, halaman 477)

 

"Ia mempunyai seekor keldai yang ia naiki, yang jarak di antara dua telinganya adalah empat puluh ela" (Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2104)

 

"Ia menaiki seekor keldai putih, yang masing-masing telinganya tiga puluh ela panjangnya, dan jarak antara kaki yang satu dengan kaki yang lain adalah perjalanan sehari semalam" (idem, halaman 2998)

 

                         III.            Harta kekayaan Dajjal

"Dan ia melalui hutan rimba, dan ia berkata kepadanya: Keluarkanlah kekayaanmu, maka kekayaaan rimba itu mengikuti dia, bagaikan lebah mengikuti ratunya" (Misykat, halaman 473)

 

                          IV.            Kawan-kawan Dajjal hidup senang, dan musuh-musuh Dajjal hidup sengsara

"Ia datang kepada suatu kaum dan mengajak mereka (supaya mengikutnya), dan kaum itu beriman kepadanya, ia memberi perintah kepada langit, maka turunlah hujan, kemudian ia memberi perintah kepada bumi, maka keluarlah tumbuh-tumbuhan. Kemudian ia datang kepada kaum yang lain, dan mengajak mereka (supaya mengikuti dia), dan kaum itu menolak ajakannya, maka berpalinglah ia daripada mereka, lalu kaum itu tertimpa kelaparan, dan tidak ada sedikit kekayaan pun yang mereka kuasai" (Misykat, halaman 473)

 

"Dan di antara fitnah Dajjal ialah, apabila ia datang pada suatu kaum yang tidak mahu beriman kepadanya, maka tiada lagi ternakan mereka yang tertinggal, melainkan binasalah semuanya; dan apabila ia datang kepada kaum lain yang beriman kepadanya, maka ia memberi perintah kepada langit, lalu turunlah hujan, dan ia memberi perintah kepada bumi, lalu keluarlah tumbuh-tumbuhan" (Kanzul-'Ummal, jilid VII. halaman 2028)

 

"Sungai-sungai dunia dan buah-buahan akan tunduk kepada Dajjal; maka barang siapa mahu mengikutinya, ia akan memberi makan kepadanya dan menjadikan dia seorang kafir dan barang siapa menentang dia, maka persediaan makanannya akan dirampas dan dihentikan mata pencariannya" (Kanzul-'Ummal; jilid VII halaman 2090)

 

"Ada beberapa kaum yang bersahabat dengan Dajjal akan berkata: "Sesungguhnya kami tahu bahawa Dajjal adalah kafir, tetapi kami bersahabat dengan Dajjal, agar kami dapat makan daripada makanannya, dan agar kami dapat memberi makan ternak kami daripada pohon-pohonnya" (idem, halaman 2092)

 

"Dan ia (Dajjal) akan membawa gunung roti, dan sekalian manusia akan mengalami kesukaran, melainkan orang yang mengikutinya" (idem, halaman 2104)

 

                             V.            Kaum Yahudi di belakang Dajjal

"Dan di belakangnya ialah Dajjal yang bersama-sama dia adalah tujuh puluh ribu orang Yahudi" (idem, halaman 2028)

 

"Kebanyakan orang yang mengikuti Dajjal ialah kaum Yahudi, para wanita, dan rakyat jelata" (Kanzul-'Ummal, jilid VII, hal. 2065)

 

"Kebanyakan orang yang menyertai Dajjal ialah kaum Yahudi, dan para wanita" (idem, halaman 2214)

 

"Dajjal musuh Allah, akan muncul dan dia akan disertai oleh bala tentera yang terdiri daripada kaum Yahudi dan segala macam bangsa" (idem, halaman 2974)

 

                          VI.            Pengaruh Dajjal Terhadap Wanita

"Dan orang yang paling akhir yang mendatangi Dajjal ialah kaum wanita, sehinggakan seorang lelaki mendatangi ibunya, anaknya perempuan, saudaranya perempuan dan bibinya, kemudian mengikat mereka, agar mereka tidak datang kepada Dajjal" (idem, hal. 2116)

 

                       VII.            Dajjal dan anak-anak yang tidak sah

"Awas! Kebanyakan kawan dan pengikut Dajjal ialah kaum Yahudi dan anak-anak yang tidak sah" (idem, halaman 2998)

 

                    VIII.            Lelaki seperti wanita, dan wanita seperti lelaki

"Dan para wanita akan nampak seperti lelaki dan lelaki akan nampak seperti wanita" (idem, halaman 2998)

 

                          IX.            Penyembuhan Ajaib

"Dan Dajjal akan menyembuhkan orang buta, orang sakit lepra, dan akan menghidupkan orang mati" (idem; halaman 2080)

 

                             X.            Bisikan Jahat Dajjal

"Barang siapa mendengar perihal Dajjal, hendaklah menyingkir daripadanya. Demi Allah! Orang akan mendatangi Dajjal, dan dia menyangka bahawa ia adalah orang mukmin, dan dia akan mengikutinya (Dajjal) kerana syak wasangka yang ditimbulkan dalam batinnya" (Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2057)

 

                          XI.            Munculnya Dajjal

"Ia (Dajjal) akan berkata: Apabila rantai yang mengikat aku ini lepas, aku tidak akan membiarkan sejengkal tanah pun yang tidak dipijak oleh kakiku, melainkan kota suci Madinah" (idem, halaman 2991)

 

"Dan tidak sejengkal tanah pun di muka bumi ini yang tidak dikuasai oleh Dajjal, melainkan kota Makkah dan Madinah" (idem, hal. 2028)

 

"Dan tidak lama lagi, aku (Dajjal) akan diizinkan keluar, maka aku akan keluar dan mengadakan perjalanan di muka bumi, dan tidak satu tempat tinggal pun yang tidak kusinggahi selama empat puluh malam, melainkan Makkah dan Madinah" (idem, halaman 2988)

 

Syurga Dan Neraka Dajjal

Menurut Hadis, tanda Dajjal yang paling besar adalah bahawa ia akan membawa syurga dan neraka. Apa yang harus diingat di sini ialah, ketika dalam suatu Hadis, kata-kata jannah dan nar digunakan untuk menunjukkan syurga dan neraka Dajjal, maka di lain Hadis, syurga dan neraka Dajjal itu dinyatakan dengan kata-kata lain. Misalnya, sebagai pengganti kata-kata syurga dan neraka Dajjal, digunakanlah kata-kata ma' (air) dan nar (api); dan di lain Hadis digunakan kata-kata nahar (sungai) dan nar (api). Dan di lain Hadis digunakan kata-kata dua sungai, sungai air dan sungai api.

 

Kemudian terdapat Hadis lagi yang menerangkan, bahawa Dajjal akan membawa "Gunung roti dan sungai air". Bahkan terdapat Hadis lagi yang sebagai pengganti kata-kata syurga dan neraka Dajjal, digunakan kata-kata "dua gunung; yang satu penuh dengan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan dan air, sedang yang lain, penuh dengan api dan asap.

 

Daripada huraian tersebut, jelas bahawa kata jannah dan nar tidaklah bermaksud Syurga dan Neraka yang sesungguhnya; Demikian pula kata-kata sungai, api, asap, gunung roti, dll, janganlah diertikan secara harfiah. Semuanya itu adalah kata ibarat; Misalnya kata jannah, ini mengibaratkan melimpahnya kesenangan dan kemewahan, sedangkan kata nar mengibaratkan kepayahan hidup. Adapun maksud sebenarnya ialah, barang siapa mengikuti Dajjal, dia akan hidup mewah, dan barang siapa menentangnya, dia akan hidup melarat.

 

Bandingkanlah keadaan kehidupan dua bangsa, iaitu bangsa-bangsa Islam yang hidup serba kekurangan, dengan bangsa-bangsa Barat yang hidup serba mewah; dan inilah yang dimaksudkan dengan syurga dan neraka Dajjal. Kata-kata syurga dan neraka tidaklah bermaksud bahawa Dajjal benar-benar membawa syurga dan neraka seperti pedagang membawa barang dagangannya. Namun  yang sebenarnya dimaksudkan ialah Dajjal akan menguasai syurga dan neraka sebagaimana dijelaskan dalam Hadis berikut ini:

 

"Sungai dan buah-buahan dunia akan tunduk kepadanya"

 

Inilah makna yang sebenarnya daripada kata-kata itu, iaitu bahawa segala jenis persediaan yang mendatangkan kesenangan, kemewahan dan kenikmatan hidup di dunia, semuanya dikuasai oleh Dajjal. Dan inilah yang disebut syurga Dajjal bagi orang yang lalai; akan tetapi sebenarnya, ini semua disebut neraka, kerana siapa sahaja yang tenggelam dalam kesenangan hidup seperti bersenang-lenang, bersuka ria, menonton wayang, membeli belah, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, minum, berjudi, melacur, pasti tidak ingat kepada Allah.

 

Akibatnya jiwanya menjadi rosak; dan inilah neraka yang sebenarnya; dan sekalipun tidak terlihat oleh mata jasmani, tetapi di Akhirat akan nampak dengan jelas. Sebaliknya apa yang disebut neraka Dajjal yang berupa kehidupan yang tidak diliputi oleh kesenangan duniawi, adalah Syurga yang sebenarnya, kerana semakin manusia tidak lemas dalam kesenangan duniawi, semakin besar pulalah keuntungan rohaninya, sehingga dia dapat terus meningkat sehingga mencapai hubungan yang erat bersama Allah. Jadi syurga Dajjal itu terdiri daripada kesenangan jasmani, yang diperoleh dengan mengorbankan kehidupan rohani. Barang siapa tenggelam dalam kehidupan senang lenang, dia akan kehilangan kesenangan pada masa akan datang.

 

Kecepatan Dajjal, Kenderaan Dajjal Di Darat, Di Laut, Dan Di Udara

Apabila Nabi SAW ditanya, mengenai kecepatan perjalanan Dajjal, Beliau menjawab sbb: "Kecepatan Dajjal adalah seperti awan yang ditiup angin". Pada waktu Nabi SAW mengucapkan kata-kata ini, tampaknya seperti dongeng sahaja, atau ucapan yang berlebih-lebihan. Akan tetapi pada dewasa ini kapal terbang bergerak melebihi kecepatan angin.

 

Selanjutnya Nabi SAW bersabda sbb: "Bumi akan digulung untuknya". Ini bermaksud Dajjal akan bergerak begitu cepat seolah-olah bumi yang luas ini kelihatan ciut. Gerakan Dajjal melalui udara dikatakan sebagai berikut: "la akan menggenggam awan di tangan kanannya". Bermaksud ia akan terbang menembusi awan. Selanjutnya Nabi SAW menerangkan bahawa "Dajjal akan melompat-lompat di antara bumi dan langit". Semua ini mengisyaratkan perjalanan Dajjal melalui udara. Lebih lanjut dijelaskan bahawa Dajjal akan bergerak begitu cepat sehingga ia:

 

"Mendahului matahari di tempat terbenamnya"

 

Pada dewasa ini kapal terbang bergerak lebih cepat berbanding peredaran matahari; orang yang berangkat dari Timur pada pagi hari, akan sampai di Barat sebelum matahari terbenam. Penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur, hanya memakan waktu beberapa jam sahaja. Mungkin juga suatu masa nanti, kita akan terbang lebih cepat lagi daripada keadaan sekarang. Selanjutnya dijelaskan bahawa "lautan hanya sedalam buku lali Dajjal" Hal ini terjadi dengan sebenar-benarnya oleh pergerakan kapal selam di bawah permukaan laut.

 

Kenderaan Dajjal disebut keldai, kerana keldai digunakan untuk mengangkut manusia dari sini ke sana, dan pula digunakan untuk mengangkut muatan bagi manusia. Akan tetapi keldai Dajjal bukanlah keldai yang sebenar, kerana keldai ini digambarkan mempunyai telinga yang jaraknya tujuh puluh ela dan warnanya putih berkilat. Gambaran ini sebenarnya sesuai menggambarkan kereta api.

 

http://1.bp.blogspot.com/-UU-L9ByDOaI/UZLfmtdgxQI/AAAAAAAACTM/mF-lz4dlUjc/s400/trein_04.jpg

  

Adapun Hadis yang menerangkan satu langkah Dajjal akan mencapai jarak perjalanan sehari semalam, ini bermaksud bahawa jarak yang ditempuh sehari semalam, itu hanyalah satu langkah sahaja bagi Dajjal.

  

Dajjal Mengeluarkan Kekayaan Bumi

Dalam Hadis dijelaskan bahawa kekayaan bumi akan mengikuti Dajjal. Ini mengisyaratkan penemuan orang-orang Barat akan kekayaan bumi yang terpendam. Di mana terdapat kekayaan bumi yang terpendam, baik yang berupa emas, perak, besi, minyak, dan bahan-bahan mineral lain, pasti ditemui oleh orang-orang Barat.

 

Semua kekayaan itu, baik di Barat mahupun di Timur, diusahakan oleh orang-orang Barat. Setelah dikeluarkan dari perut bumi, bahan-bahan itu digunakan untuk menghasilkan barang-barang yang digunakan oleh bangsa Barat untuk menjajah bangsa lain di dunia. Selain itu mereka mengusahakan daerah padang pasir yang tandus dijadikan daerah yang subur dengan tumbuh-tumbuhan dengan cara memberikannya saluran air dan baja.

 

Secara ringkasnya, semua kekayaan bumi baik yang berupa mineral mahupun hasil tanaman, dikuasai oleh bangsa-bangsa Barat. Semua kekayaan mengikuti Dajjal, dan keuntungan bangsa-bangsa Barat semakin bertambah, sedangkan bangsa-bangsa lain di dunia hanya dijadikan buruh mereka untuk menghasilkan bahan-bahan mentah bagi kepentingan industri mereka.

 

Sejumlah besar emas dan kekayaan dunia baik di Malaysia, di Indonesia dan negara-negara Timur, semuanya dilombong untuk dikumpulkan di Barat dan Amerika. Alangkah hebatnya kasyaf Nabi SAW tiga belas abad yang lalu mengenai keadaan yang kita alami sekarang ini. Alangkah baiknya jika kasyaf itu diberitahukan kepada orang-orang yang telah disesatkan oleh kekayaan, kemewahan, dan kekuasaan bangsa-bangsa Barat, sehingga  berlutut di hadapan mereka. Hendaklah mereka merenungkan ketajaman penglihatan rohani Nabi SAW yang beberapa ratus tahun sebelumnya, dapat melihat gambaran dunia sekarang ini dengan segala perinciannya sehingga beliau mampu memberi gambaran yang jelas kepada bangsa Arab ketika itu.

 

Kawan-Kawan Dajjal Hidup Senang, Dan Musuh-Musuh Dajjal Hidup Sengsara.

Telah jelas bahawa menuruti Dajjal adalah cara yang sebaik-baiknya untuk menghormati dan bersahabat dengan Dajjal. Hadis yang menerangkan bahawa pengikut-pengikut Dajjal akan senang hidupnya, ini berlaku bagi orang-orang yang bersumpah setia kepadanya. Kita dapat perhatikan keadaan dunia hari ini di mana golongan yang beriman banyaknya terdiri daripada orang-orang yang hidup sederhana kerana mereka tidak mahu menuruti cara hidup Barat.

 

"Ia (Dajjal) akan membawa gunung-roti, semua orang menderita kesukaran, kecuali orang-orang yang mengikutinya"

 

Memang benar bahawa jaminan terbaik bagi keamanan ekonomi sekarang ini ialah dengan menuruti bangsa Barat. Orang-orang yang tidak mahu mengambil jalan ini dan tidak mahu hidup menuruti cara mereka, pasti akan mengalami kehidupan yang sukar dan sengsara. Alangkah benarnya gambaran yang diberikan Nabi SAW:

 

"Barang siapa mengikuti Dajjal, ia akan diberi makan, akan tetapi ia dijadikan kafir" (Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2104)

 

Kita dapat perhatikan pada zaman ini, orang-orang yang menjalani cara hidup Barat amat sedikit sekali yang patuh menuruti ajaran agama.

 

"Kami bersahabat dengan Dajjal, sekalipun kami tahu bahawa ia kafir. Kami bersahabat dengan Dajjal agar kami dapat makan daripada Persediaannya."

 

Inilah hamba-hamba yang menari-nari menuruti irama Dajjal. Mereka mengerjakan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama, bangsa dan negara, hanya kerana wang.

 

Gambaran mengenai kemampuan Dajjal menurunkan hujan sebagaimana dijelaskan: “ia memberi perintah kepada langit, maka turunlah hujan” tidak mempunyai erti lain melainkan kemampuannya menurunkan hujan buatan melalui proses pembenihan awan yang sekarang ini telah banyak dilakukan.

 

Kekuatan Yahudi Di Belakang Dajjal

Ramalan Nabi SAW mengenai Dajjal adalah bukti yang mengagumkan mengenai hebatnya kasyaf beliau mengenai peristiwa yang akan terjadi pada kemudian hari. Dalam Hadis dijelaskan bahawa beliau menunjuk Gereja sebagai tempat Dajjal, dan Al-Quran juga memberi petunjuk mengenai identiti Dajjal dengan kata-kata sbb. "Dan juga untuk memberikan amaran kepada orang-orang yang berkata “Allah mengambil anak" (Surah Al-Kahfi: 4)

 

Adapun kebencian orang-orang Yahudi terhadap Nabi Isa, Al-Quran menghuraikan begitu jelas, sehingga Al-Quran menyebutkan surah mengenai kaum Yahudi yang menuduh Siti Maryam, Ibu Nabi Isa. Allah berfirman sbb:

 

"Demikian juga kerana kekufuran mereka, dan tuduhan mereka terhadap Maryam" (Surah An-Nisaa:156)

 

Sikap permusuhan kaum Yahudi terhadap Nabi Isa adalah yang paling besar yang pernah dilancarkan oleh suatu bangsa terhadap seseorang. Sifat permusuhan yang abadi ini dihuraikan dalam Al-Quran sbb:

 

"Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, hingga ke hari kiamat" (Surah Al-Maidah:14)

 

Kaum Yahudi mengalami berbagai jenis penindasan, baik pada zaman Nabi SAW mahupun sebelum beliau, dan penindasan ini berlangsung terus-menerus setelah beliau. Bahkan dapat dikatakan sehingga munculnya Dajjal, kaum Yahudi tetap mengalami penindasan oleh kaum Kristian. Namun demikian Nabi Suci meramalkan sbb:

 

"Dajjal akan disertai oleh tujuh puluh ribu orang Yahudi."

 

"Kebanyakan orang yang mengikuti Dajjal ialah kaum Yahudi."

 

"Dajjal musuh Allah, akan muncul dan akan disertai oleh bala tentera yang terdiri daripada kaum Yahudi."

 

Harus diingat bahawa tidak ada satu Hadis pun yang menerangkan bahawa Dajjal adalah orang Yahudi. Sebaliknya Hadis menerangkan bahawa Dajjal adalah sepadan dengan kaum Kristian.

 

Namun kita berhadapan dengan kenyataan yang paling pelik, iaitu bahawa Pemerintahan Barat sangat-sangat bekerjasama dengan baik bersama kaum Yahudi. Bahkan Pemerintah Inggeris yang begitu jayapun membantu kepentingan Yahudi untuk menghancurkan kaum Muslimin di Palestin.

 

Kaum Muslimin di Palestin dibuat melarat, sehingga ladang-ladangnya terpaksa dijual kepada orang-orang Yahudi yang tinggal di sana dalam jumlah yang besar. Harus diingat bahawa penyokong penindasan itu adalah pihak Barat. Kaum Yahudi hanya berselindung di belakang pihak Barat sesuai dengan sabda Nabi SAW "Dajjal akan disertai oleh tujuh puluh ribu orang Yahudi". Perkataan "tujuh puluh ribu orang Yahudi" dalam Hadis ini mengandungi erti jumlah yang besar. Sebagaimana kita maklum, bahasa Arab "tujuh" atau "tujuh puluh" itu digunakan untuk menunjukkan jumlah yang besar. Jadi, tujuh puluh ribu orang Yahudi ini bermaksud banyak sekali kaum Yahudi yang mahu bekerjasama dengan Dajjal. Jika penduduk dunia tidak tahu bagaimana kaum Yahudi secara senyap-senyap membantu Pemerintah Inggeris dan Pemerintah Barat lainnya, atau bagaimana Pemerintah Inggeris membantu kaum Yahudi, maka tindakan Pemerintah Inggeris memindahkan bangsa Yahudi ke Palestin telah cukup sebagai bukti benarnya ramalan Nabi SAW mengenai adanya persekutuan rahsia ini.

 

Meskipun begitu, gabungan kekuatan antara kaum Yahudi dan pihak Barat tidak sekali-kali menggentarkan kaum Muslimin, asalkan kaum Muslimin menyedari sepenuhnya bahawa Nabi SAW di samping meramalkan adanya kekuatan gabungan yang menakutkan ini, beliau juga tiga belas abad yang lalu meramalkan bahawa pada akhir zaman, Islam akan beroleh kemenangan.

 

Pengaruh Dajjal Terhadap Wanita

Dalam Hadis dijelaskan bahawa Dajjal tidaklah kecil pengaruhnya terhadap kaum wanita. Kenyataan menunjukkan bahawa walaupun manusia mempunyai kesanggupan untuk berbuat baik, namun pelaksanaannya harus disertai dengan usaha keras seakan-akan mendaki puncak gunung. Tetapi tidak demikian pula halnya perbuatan buruk. Tanpa susah payah sedikitpun, manusia sentiasa bersedia dan tidak segan silu melakukan perbuatan yang merosakkan moral dan perbuatan biadab.

 

Celakanya pada dewasa ini, Eropahlah yang membuka pintu segala macam godaan berupa pergaulan bebas yang melebihi batas antara lelaki dan wanita. Adegan-adegan yang membangkitkan nafsu berahi, baik yang dipentaskan dalam panggung mahupun di layar putih, menjadi sebab tempat-tempat yang menjatuhkan itu banyak dikunjungi ramai orang, terutama para pemuda. Foto-foto cabul, tarian bogel, pakaian wanita separuh bogel, semua kejahatan yang ditimbulkan oleh cara hidup berfoya-foya ini menyebabkan jiwa manusia cepat menjadi rosak. Rosak tubuh badannya, demikian pula rosaknya moral.

 

Meluncur ke bawah adalah lebih mudah daripada naik ke atas. Kejadian-kejadian tersebut buruk sekali pengaruhnya terhadap karakter bangsa kita sendiri. Perbuatan orang-orang Barat yang tidak sepatutnya itu, semakin lama semakin dianggap tidak menjijikkan lagi oleh bangsa kita. Pelacuran dan seumpamanya tidak lagi memuakkan perasaan kita. Perbuatan buruk ini, yang cepat sekali menjalar di kalangan kaum lelaki, kini mulai menjalar di kalangan kaum wanita.

 

Tepat sekali sabda Nabi SAW sbb:

 

"Orang terakhir yang akan datang kepada Dajjal adalah kaum wanita."

 

Memang sifat pemalu kaum wanita dapat bertahan lama menghadapi godaan Dajjal. Akan tetapi sekarang mereka telah jatuh menjadi korban godaan Dajjal, dan sekalipun di negeri kita belum begitu memuncak seperti di Barat, namun sekarang banyak wanita Timur yang mengucapkan selamat tinggal kepada kesopanan Islam dan menggantikannya dengan kesopanan separuh bogel ala barat. Mereka semakin biasa mengunjungi tempat-tempat hiburan.

 

http://1.bp.blogspot.com/-2rPU7MwZh0w/UZLiCU5PrlI/AAAAAAAACTc/zm_IRUd9F8Q/s400/Aksi+Gadis+Melayu.JPG

  

Apabila pengaruh Dajjal tidak dapat dibendung lagi dan kebudayaan Islam telah diganti dengan kebudayaan Barat, pasti akan tiba masanya bahawa di negara kita seperti halnya di negara Barat, pelacuran dan segala yang seumpamanya, bukan lagi hal yang memuakkan batin kita. Memang benar bahawa agama Islam tidak menyuruh kaum wanitanya agar berkurung di dalam bilik, dan memakai pakaian yang menutupi keseluruhan tubuh badan seperti wanita di tanah Arab dan negara Islam lainnya.

 

http://4.bp.blogspot.com/--Vek_zRZRUk/UZLiMAhNWcI/AAAAAAAACTk/JA7Kl7ld7ZE/s400/TLLB-PURDAH-LIGHT-BLUE-1.jpg

  

Sebaliknya Islam mengizinkan kaum wanita keluar untuk bekerja, berniaga, memenuhi tugas sosial, ekonomi dan keperluan lainnya. Wanita dapat bekerja sebagai buruh, sebagai peniaga, malah sebagai tentera. Akan tetapi dengan segala kebebasan bergerak, Islam tidak mengizinkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, demikian pula tidak mengizinkan memakai pakaian yang tidak sopan sekiranya berkumpul bersama kaum lelaki dalam suatu keperluan. Kaum wanita dilarang mempertontonkan kemolekan tubuhnya yang dapat mencairkan kaum lelaki. Cara-cara memperlihatkan kemolekan dan pergaulan bebas inilah ciri-ciri khas Dajjal dalam pergaulan, yang buruk sekali pengaruhnya terhadap wanita Islam yang bermartabat tinggi.

 

Dajjal Dan anak Yang Tidak Sah.

Hubungan bebas yang tidak sah dan melebihi batas antara lelaki dan wanita, menyebabkan sumbang mahram, dan menyebabkan bertambahnya anak-anak yang tidak sah (anak-anak zina), dan ini adalah ciri khas bandar-bandar besar di Barat dan Amerika. Dalam kasyaf Nabi Suci melihat hubungan seks yang tidak sah yang mendasari materialisme:

 

"Awas! Sebahagian besar kawan dan pengikut Dajjal adalah kaum Yahudi dan anak-anak yang tidak sah."

 

Sejumlah besar anak-anak zina ini dilindungi oleh undang-undang yang mengesahkan anak-anak itu. Contohnya, seorang wanita mengandung kerana hubungan yang tidak sah, akan tetapi sebelum bayi lahir, mereka melangsungkan pernikahan, maka bayi itu dianggap sah. Sehinggakan undang-undang tersebut begitu lunak, sehingga apabila lelaki dan wanita yang berbuat maksiat melangsungkan perkahwinan pada bila-bila masa, maka anak-anak yang dilahirkan sebelum perkahwinan, semuanya dianggap sah.

 

Akan tetapi sekalipun undang-undang itu lunak sekali, namun di bandar-bandar Barat (dan Amerika), masih terdapat banyak anak-anak yang tidak sah. Bahkan anak-anak yang lahir dalam situasi perang, diberi julukan sebagai "anak pahlawan". Jika seseorang itu mahu meninjau betapa bermaharajalela pergaulan bebas antara lelaki dan wanita di Barat dan Amerika, kita dapat meramalkan bahawa tidak lama lagi penduduk daerah ini akan berpaling dari jalan yang benar dan kembali kepada kehidupan biadab bagaikan binatang, sepanjang mengenai hubungan seks antara lelaki dan wanita.

 

Lelaki Seperti Wanita Dan Wanita Seperti Lelaki.

Tanda-tanda Dajjal lain lagi yang dihuraikan dalam Hadis ialah bahawa wanita akan seperti lelaki, dan lelaki akan seperti wanita. Satu perempat abad yang lalu, hal ini masih sukar difahami. Akan tetapi sekarang ramalan ini terjadi sebenar-benarnya, iaitu bahawa wanita memakai cara-cara kaum lelaki, sebagai contohnya memotong rambut, memakai seluar dan sebagainya, sedangkan kaum lelaki memakai mengikut kaum wanita. Perubahan dalam hal kelakuan dan kebiasaan ini begitu jauh, sehingga kadangkala terlalu sukar dibezakan antara wanita dan lelaki.

 

Sabda Nabi SAW:  "Wanita akan nampak seperti lelaki dan lelaki akan nampak seperti wanita" Ini terjadi dengan sebenar-benarnya.

 

Penyembuhan Ajaib

Di samping meramalkan keburukan, Nabi SAW meramalkan juga kebaikan Dajjal. Di satu segi, dalam Al-Quran terdapat ayat yang menerangkan bahawa bangsa-bangsa Dajjal memperoleh kemajuan besar di lapangan usaha dan lapangan industri (Surah Al-Kahfi: 104); dan di lain segi, ada sebuah Hadis yang menerangkan bahawa bangsa Dajjal akan menyembuhkan penyakit secara ajaib :

 

"Ia (Dajjal) akan menyembuhkan orang buta, orang sakit lepra, dan menghidupkan orang mati." (Kanzul-'Ummal, jilid VII Halaman. 2080)

 

http://2.bp.blogspot.com/-W5tkiE0fJoY/UZLjT25oi8I/AAAAAAAACT4/dtsCbkvJau4/s400/medtech.jpg

  

http://1.bp.blogspot.com/-NWG3WFc3ikg/UZLjHI69kcI/AAAAAAAACTw/NB4I90qcJDw/s400/Radiotherapy-treatment.jpg

  

Di sini yang dimaksudkan "menghidupkan orang mati" ialah menyembuhkan penyakit yang tidak dapat disembuhkan, seakan-akan Dajjal dapat menghidupkan orang mati. Memang benar bahawa dalam soal perubatan, bangsa Dajjal memperlihatkan keluar biasaannya melalui teknologi perubatan yang dipersembahkannya, dan ini adalah hasil yang patut dipuji. Akan tetapi menurut Hadis, hal ini termasuk salah satu fitnah Dajjal, seperti halnya kecepatan dan kenderaan Dajjal, di darat, di laut dan di udara. Kerana dengan kemajuan yang luar biasa ini, ramai orang akan merasa bahawa agama hanyalah kepercayaan turun temurun yang tidak mendatangkan kemajuan. Hal ini dikuatkan lagi dengan bukti dan realiti hari ini bahawa negara-negara Islam jauh ketinggalan sekiranya dibandingkan dengan negara-negara Barat. Namun harus difikirkan, kemajuan-kemajuan mereka di lapangan kebendaan, telah menyesatkan ramai manusia dari segi kehidupan rohani.

 

Bisikan Jahat Dajjal

Daripada huraian tersebut, jelas sekali bahawa Dajjal tidak akan menyesatkan manusia dengan jalan paksa, melainkan dengan mempengaruhi mereka agar mereka terpikat oleh gemerlapnya harta benda duniawi dan kesenangan yang melimpah ruah, demikian pula dengan mempengaruhi orang melalui hasil pengolahan kekayaan alam dan ilmu pengetahuan yang luar biasa. Akan tetapi dalam Hadis, Nabi SAW menjelaskan hal ini sbb:

 

"Barang siapa mendengar perihal Dajjal, hendaklah menyingkir daripadanya. Demi Allah, orang akan datang kepadanya, dan mengira bahawa ia adalah mukmin, namun dia mengikuti ia (Dajjal) kerana keraguan yang ditimbulkan olehnya (Dajjal) dalam batinnya." (Kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2057).

 

Sekiranya kita menyelidiki persoalan ini, maka jelas sekali bahawa tipu muslihat yang digunakan oleh bangsa-bangsa Barat tidak ada taranya dalam sejarah dunia. Dengan cara yang halus, mereka meniupkan bisikan jahat ke dalam batin manusia, sehingga fikiran menjadi goncang kerananya.

 

Munculnya Dajjal Dan Bermaharajalelanya Di Dunia.

Sebagaimana dijelaskan dalam Hadis, Dajjal akan menjelajahi seluruh dunia:

 

"Tidak ada satu tempat pun di dunia yang tidak dipijak dan dilalui oleh Dajjal"

 

Hadis lain menerangkan bahawa Dajjal mengucapkan kata-kata sbb:

 

"Tidak ada satu tempat tinggalpun yang tidak aku masuki"

 

Ini bukan sahaja menunjukkan penglihatan Nabi SAW yang luar biasa, dan menunjukkan bahawa Dajjal bukanlah nama orang, melainkan suatu bangsa atau segolongan bangsa, yang anggotanya tersebar di tiap-tiap tempat di dunia. Kerana jika Dajjal itu satu orang, nescaya ia tidak dapat melaksanakan segala sesuatu yang diramalkan oleh Nabi SAW, sekalipun ia dapat bergerak secepat kilat. Tidak mungkin satu orang dapat membawa syurga dan neraka ke seluruh dunia, dan membuat pengumuman di mana-mana dan memberi ganjaran kepada orang yang menerimanya, dan memberi seksaan kepada orang yang menolaknya, dan tidak satu tempat tinggal pun yang tidak dikunjunginya.

 

Semua pekerjaan ini tidak mungkin dilakukan oleh satu orang. Bukannya mengenai masalah kecepatan sahaja, melainkan berkait pula beberapa masalah, contohnya dengan cara bagaimanakah supaya orang-orang mahu mengikutinya dan bagaimanakah cara memberikan ganjaran dan seksaan. Padahal semua ini harus ia lakukan di tiap-tiap kampung dan bandar; dan sekalipun singkatnya waktu yang ia perlukan untuk menjalankan penyiaran dan segala perbuatan, namun pekerjaan dan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain pastilah memakan masa.

 

Seandainya di tiap-tiap tempat hanya diperlukan satu jam sahaja, maka untuk mengelilingi beribu-ribu kampung dan bandar di Malaysia sahaja, ia memerlukan masa seratus tahun. Dengan demikian ia memerlukan masa beribu-ribu tahun agar dapat mengelilingi semua tempat di seluruh dunia. Akan tetapi jika semua pekerjaan itu dilakukan oleh suatu bangsa, maka pelaksanaan itu semua bukan sahaja masuk akal, melainkan pula fakta-faktanya telah kami saksikan dengan mata kepala sendiri; dan ini sekali gus menunjukkan tajamnya penglihatan rohani Nabi Muhammad SAW.

 

Di satu segi, kami melihat cepatnya pergerakan bangsa-bangsa Barat; jangankan empat puluh hari, beberapa hari sahaja sudah cukup bagi mereka untuk mengelilingi dunia. Di lain segi pula kami menyaksikan mereka mendatangi dan menguasai tiap-tiap tempat di dunia. Jika pada suatu ketika, orang amat terpengaruh oleh gunung-gunung roti yang dibawa oleh mereka, pada ketika yang lain pula, orang amat tercengang menyaksikan kehidupan yang serba mewah.

 

Jika pada suatu ketika orang melihat bagaimana mereka mengolah kekayaan alam, pada ketika yang lain pula, orang melihat kejanggalan sistem pendidikan mereka yang menyebabkan masalah moral dan sikap acuh tak acuh terhadap agama sendiri. Jika di satu tempat mereka mendapat simpati kerana baiknya layanan hospitaliti mereka, di lain tempat pula mereka tidak mengakui Islam.

 

Ringkasnya, jika semua pekerjaan itu dilakukan oleh suatu bangsa atau segolongan bangsa, segala sesuatu pasti menjadi jelas dan masuk akal. Akan tetapi jika semua pekerjaan itu dilakukan oleh satu orang, segala sesuatu pasti akan membingungkan. Contohnya, ramalan bahawa Dajjal akan mengelilingi dan menguasai seluruh dunia. Jika ramalan ini diterapkan kepada satu orang, nescaya orang ini memerlukan bantuan berjuta-juta orang, untuk dapat menguasai sekalian bangsa di dunia. Akhirnya, yang memegang kekuasaan bukanlah satu orang, melainkan sejumlah besar manusia.

 

Sekiranya seseorang itu masih lagi mahu berpegang teguh kepada keyakinan bahawa Dajjal ialah seekor makhluk yang bermata satu fizikalnya, maka kami berlepas diri.

 

Kerana ramalan bahawa Dajjal akan mendatangi tiap-tiap tempat dan menguasai seluruh dunia, sekarang ini telah dipenuhi, dan kita menyaksikan itu dengan mata kepala sendiri, berupa penjajahan bangsa-bangsa Barat dan bermaharajalela mereka di seluruh dunia. Sampai bilakah kita dapat menutup mata dan menunggu-nunggu kedatangan Dajjal yang tidak akan timbul kecuali dalam khayalan sahaja, jika kita tidak mahu mengakui kenyataan pahit yang kita hadapi sekarang ini?

 

Pengertian bahawa seorang Dajjal akan berada di tiap-tiap tempat di dunia dan menakluki dunia seorang diri, tidak mungkin dapat dibayangkan oleh fikiran manusia, lebih-lebih oleh manusia zaman sekarang. Akan tetapi jika kita mahu menggunakan fikiran yang sihat, seseorang itu pasti akan mengetahui bahawa pada dewasa ini tidak ada satu tempat pun di dunia yang Dajjal tidak menempati tempat itu.

 

Tidak ada satu tempat pun, baik di hutan mahupun di padang pasir, di kepulauan besar mahupun di kepulauan kecil, di lembah mahupun di gunung-ganang yang tidak dimasuki oleh Dajjal. Orang yang amat bodoh tidak akan dapat membayangkan bagaimana keadaan yang sebenarnya, tetapi kita melihat hal itu benar-benar terjadi di hadapan mata kita sendiri. Barang siapa mahu melihat kejadian ini secara serius, orang itu pasti akan tertunduk dan kagum kepada Nabi SAW atas tajamnya penglihatan rohani beliau.

 

Dajjal Akan Dikenal Oleh Seseorang Di Antara Kaum Muslimin

Sungguh pelik sekali bahawa di satu segi, tanda-tanda Dajjal dapat difahami oleh orang-orang biasa, akan tetapi di lain segi, Hadis menerangkan bahawa banyak sekali orang yang akan jatuh sebagai korban penipuan Dajjal. Jika semua tanda bahawa Dajjal buta mata kanannya, dan mata kirinya gemerlapan bagaikan bintang, dan bahawa perkataan kafir akan tertulis di atas dahinya yang dapat dibaca oleh setiap orang mukmin, baik dia buta huruf atau tidak, dan bahawa ia mempunyai keldai pelik yang jarak di antara dua telinganya adalah tujuh puluh ela, bahawa ia membawa syurga dan neraka, bahawa ia membawa gunung roti dan sungai, bahawa ia menyuruh awan supaya menurunkan hujan, dan sebagainya; jika semua tanda itu telah dipenuhi, maka tidak diperlukan lagi adanya orang di antara kaum Muslimin yang harus memperkenalkan Dajjal dan menyatakan kepada mereka bahawa inilah Dajjal yang Nabi SAW memperingatkannya kepada kita.

 

Adapun Hadis tersebut berbunyi sbb:

 

"Dajjal muncul lalu seseorang dari kalangan kaum mukmin menuju ke arahnya… Saat orang mukmin melihatnya, dia berkata, Wahai sekalian manusia, inilah Dajjal yang disebut oleh Rasulullah SAW.”

 

Jika tanda-tanda Dajjal telah terlihat seperti yang diramalkan oleh Nabi SAW, mengapa masih diperlukan adanya orang yang harus mengenalinya dan mengumumkan bahawa Dajjal benar-benar telah datang. Ini menunjukkan bahawa kehadiran Dajjal di kalangan kita adalah sesuatu yang tidak disedari. Maka dengan tanda-tanda yang jelas, telah cukup sebagai bukti bahawa Dajjal telah datang, dengan demikian tidak perlu dijelaskan lagi.

 

Jadi dengan adanya Hadis tersebut, kita dapat membuat kesimpulan bahawa tanda-tanda Dajjal tidak dapat diertikan secara wajar, melainkan harus diertikan sebagai kalam ibarat. Untuk ini sangat diperlukan adanya orang yang mempunyai penglihatan tajam yang dapat memahami tanda-tanda itu, dan menerangkan bilakah munculnya Dajjal.

 

Siapakah Yang Akan Berkata: "Inilah Dajjal Yang Disebut Oleh Rasulullah SAW "

Sungguh pelik sekali bahawa orang yang dapat menerangkan bahawa Dajjal itu sebenarnya bangsa Barat, adalah orang kampung biasa, orang bertapa yang sedikit sekali pengetahuannya mengenai masalah dunia. Separuh abad yang lalu tatkala penduduk dunia tidak tahu sama sekali mengenai identiti Dajjal, bahkan orang tidak menduga sama sekali bahawa bangsa-bangsa Barat yang menguasai seluruh dunia dan yang menjajah negara kita adalah Dajjal yang diramalkan oleh Nabi SAW. Sebaliknya, ramai yang berfikir bahawa Dajjal adalah makhluk pelik yang bermata satu, yang berkenderaan keldai yang pelik, yang membawa syurga dan neraka dan benda pelik yang lain.

 

Pada ketika manusia mempunyai fikiran semacam itu, Allah memberitahu bahawa Dajjal adalah bangsa-bangsa Barat yang menguasai seluruh dunia, yang mata duniawinya gemerlapan bagaikan bintang dan yang mata rohaninya buta sama sekali. Selain itu, walaupun seandainya ada yang tahu mengenai rahsia ini, diapun tidak mempunyai keberanian untuk mengatakannya.

 

Orang Islam tidak tahu bahawa mereka sedang bersama-sama dengan Dajjal, bahkan mereka secara tidak sedar menjadi korban tipu muslihat Dajjal, sebagaimana digambarkan dalam Hadis.

 

Gagasan Nabi SAW Untuk Mengalahkan Dajjal Dengan Dalil

Jika Hadis itu kita baca dengan teliti, nescaya akan bertambah jelas apa yang dimaksudkan dengan membunuh Dajjal, Hadis-Hadis itu berbunyi sbb:

 

"Apabila ia (Dajjal) muncul, dan aku ada di tengah-tengah kamu, aku akan mengalahkan dia dengan dalil, dan apabila ia muncul sedangkan aku tidak ada di tengah-tengah kamu hendaklah tiap-tiap orang berbantah dengan dia" (Kanzul-'Ummal, jilid VII, hal. 2076)

 

Hadis lain lagi berbunyi sbb:

 

"Maka apabila ia (Dajjal) muncul dan aku ada di tengah-tengah kamu, aku akan mengalahkan dia dengan dalil atas nama kaum Muslimin; akan tetapi apabila ia muncul setelahku, hendaklah tiap-tiap orang berbantah dengan dia atas nama sendiri" (kanzul-'Ummal, jilid VII, halaman 2025 dan 2079)

 

Hadis-Hadis tersebut menerangkan sejelas-jelasnya bahawa apabila Dajjal muncul di zaman Nabi SAW, beliau akan mengalahkan dia dengan dalil. Ini menunjukkan bahawa membunuh Dajjal bermaksud membanteras kejahatan Dajjal; oleh kerana Dajjal menyesatkan manusia dengan tipu muslihatnya yang halus dan dengan menimbulkan keraguan dalam batin manusia, maka kejahatan Dajjal hanya dapat dibanteras dengan dalil. Maka dari itu, Nabi SAW bersabda bahawa beliau akan mengalahkan Dajjal dengan dalil.

 

Demikian pula terbunuhnya Dajjal oleh Al-Masih, ini harus diertikan seperti dikalahkan Dajjal oleh Nabi Suci dengan dalil. Dengan perkataan lain, Al-Masih juga akan mengalahkan Dajjal dengan dalil atau menyelamatkan manusia daripada fitnah Dajjal dengan jalan dakwah. Bahawa perkataan qotala mempunyai maksud seperti juga tersebut di atas, ini diberikan dalam Kamus Arab. Dalam kitab Nihayah, Kitab Kamus Hadis, di situ dihuraikan bahawa kata-kata Qotalallohu Sa dan (yang makna aslinya, semoga Allah membunuh Sa'adj ini bermaksud dafallohu syarrahu, bermaksud "semoga Allah mengelakkan kejahatannya". Hadis tersebut dikutip sehubungan dengan peristiwa Tsaqifah.

 

Selanjutnya, tatkala orang-orang membicarakan sumpah setia kepada dua Khalifah yang saling bermusuhan, salah seorang berkata sbb: uqtulul - akhira (makna aslinya, bunuhlah khalifah yang lain).

 

Jika kita pertimbangkan Hadis lain yang ada hubungannya dengan Hadis tersebut; kita akan menemui bukti lagi, bahawa yang dimaksudkan membunuh Dajjal ialah menangkis kejahatannya. Ada beberapa Hadis yang menerangkan bahawa barang siapa membaca sepuluh ayat terakhir daripada Surah Al-Kahfi, dia akan selamat daripada fitnah Dajjal. Ini bermakna bahawa Dajjal bukan akan membunuh manusia, melainkan akan menyesatkan mereka dari jalan yang benar dengan menimbulkan keraguan dalam batin mereka.

 

Oleh sebab itu; supaya manusia selamat daripada fitnah Dajjal, manusia dianjurkan supaya membaca ayat-ayat Al-Quran.

 

Setidak-tidaknya jelas sekali bahawa Hadis ini sahih. Fitnah Dajjal bukanlah bermaksud membunuh manusia, melainkan menyesatkan mereka dengan bisikan jahat dan menimbulkan rasa ragu-ragu. Jika demikian itulah yang dimaksudkan dengan fitnah Dajjal, maka cara pembanterasannya harus sama pula. Bacalah sekali lagi Hadis berikut ini:

 

"Demi Allah! Orang akan datang kepadanya (Dajjal) dengan keyakinan bahawa ia adalah mukmin, akan tetapi dia mengikutinya; kerana keraguan yang ditimbulkan dalam batinnya"

 

"Makanan orang Mukmin pada zaman Dajjal adalah makanan para malaikat, iaitu memuliakan dan mensucikan Allah; maka barang siapa di zaman itu memuliakan dan mensucikan Allah, maka bagi dia, Allah akan menghilangkan kelaparan" (Kanzul'Ummal, jilid VII, halaman 2041 )

 

"Barang siapa berkata, Allah adalah Tuhanku, dan terus berbuat demikian sehingga dia mati, Allah akan menyelamatkan dia daripada fitnah Dajjal" (idem, jilid VII, halaman 2080)

 

"Sesungguhnya, Allah akan menyelamatkan orang Mukmin dengan hal yang sama seperti Allah menyelamatkan para malaikat, iaitu dengan mengagungkan Allah" (idem, jilid VIII, halaman. 2090)

 

Daripada Hadis-Hadis tersebut jelas sekali bahawa orang mukmin akan diselamatkan daripada fitnah Dajjal dengan jalan mengagungkan Allah. Yang dimaksudkan makanan orang mukmin pada zaman fitnah Dajjal ialah makanan rohani; kerana sebagaimana makanan jasmani itu dimaksudkan untuk memelihara tubuh, makanan rohani itu dimaksudkan untuk memelihara jiwa.

 

Jadi Hadis tersebut menerangkan bahawa manusia akan diselamatkan daripada kerosakan moral dan rohani yang dilakukan oleh Dajjal dengan penyembuhan rohani, iaitu zikir kepada Allah. Memang benar bahawa ada sebuah Hadis yang menerangkan berperang menentang Parsi dan Rom, akan tetapi Hadis ini mungkin mengisyaratkan Perang Salib, tatkala seluruh bangsa-bangsa Kristian Eropah dikerahkan untuk menghancurkan Islam dengan pedang:

 

Satu hal telah jelas, bahawa ubat yang dapat menyembuhkan manusia daripada fitnah Dajjal yang berhubung kait dengan masalah agama, adalah bersifat rohani. Dalam sebuah Hadis dijelaskan bahawa jika pada waktu munculnya Dajjal Nabi SAW masih hidup, maka beliau akan mengalahkan Dajjal dengan dalil-dalil bahkan beliau menganjurkan agar para pengikut beliau juga berbuat demikian, jika nanti Dajjal muncul setelah beliau.

 

Selanjutnya, beliau menganjurkan agar para pengikut beliau membaca Surah Al-Kahfi, yang isinya membahas ajaran Kristian, sudah tentu mempunyai tujuan. Iaitu agar para pengikut beliau mengumpulkan kekuatan rohani untuk menolak segala pujukan-pujukan duniawi yang disajikan oleh pihak Barat (Kristian). Dalam Hadis lain Nabi SAW menganjurkan agar manusia banyak berzikir kepada Allah, kerana dengan jalan ini mereka akan semakin dekat kepada Allah, dengan demikian dia memperoleh kekuatan rohani. Kedatangan Al-Masih mempunyai tujuan yang sama, iaitu menghidupkan kembali iman manusia, dan memperbaiki kembali rohani manusia, yang telah kalut disebabkan bermaharajalelanya peradaban kebendaan.

 

Jadi yang dimaksudkan membunuh Dajjal oleh Al-Masih ialah, bahawa propaganda dan pengaruh Dajjal akan ditolak, dan orang-orang Islam akan diselamatkan daripada fitnah Dajjal.

 

Akhir sekali, kami ingin kongsikan mengenai satu Hadis Nabi SAW yang berbunyi sbb;

 

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnahku.” (Hadis Riwayat Malik Ibn Anas)

 

Pertanyaannya adalah, pernahkah anda mengetahui terjemahan Al-Quran secara menyeluruh? Maka dengan cara bagaimanakah anda dapat berpegang kepada sesuatu yang anda tidak pernah ketahui selain cuma berpandukan sangkaan semata-mata?

 

Karya disunting daripada Hasil Kerja Maulana Muhammad Ali yang telah diterjemahkan oleh H.M. Bachrun.

 

Baca juga; Perilaku Kaum Yakjuj Dan Makjuj Dan Kerosakan Yang Dilakukan Mereka

http://islamdankeselamatannya.blogspot.com/perilakukaumyakjujdanmakjuj.html

No comments:

Post a Comment