Friday 17 July 2015

Nabi Muhammad SAW dalam Kitab Agama-Agama Lain

 

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgmEajqOz239J6fKxXUjqvtoR7_YC1e1zpssO1K4Axy4Que9suvP5qxZJ2iL74mQpMBC1Mj6mbYmJQPWbz5NZHwZm4qTerjgo9RH1RMUFKx0WHonGfeHCmWFioaLT1BI84YdiWB-BMIidlD/s1600/injil-barnabas.png

 

Mukadimah

Tulisan ini disusun daripada berbagai sumber para ahli sejarah, agamawan dan cerdik pandai, bukan bertujuan untuk mengubah keyakinan agama seseorang, sebab keyakinan dan agama seseorang itu merupakan pilihan masing-masing dan memberikan pengaruh kepada dirinya sendiri. Namun tulisan ini dibuat untuk mengajak perdamaian dan merenungkan hakikat erti kehidupan dan mengajak untuk berfikir dengan lebih luas, tidak sekadar menutup hati pada hamparan ilmu pengetahuan yang terhampar di sekeliling kehidupan kita.

 

Maka apapun agama dan keyakinan sahabat semua, tetap sahaja kita adalah makhluk manusia ciptaan-Nya, yang diberi akal budi untuk selalu memerhatikan tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran-Nya, agar kita dapat hidup dalam keadaan damai berdampingan mengisi relung-relung kehidupan di dunia yang fana ini.

 

I. KITAB HINDU

Sekilas Riwayat Agama Hindu:

Asal usul dan riwayat agama Hindu sangat sukar untuk diketahui secara pasti. Dikatakan agama Hindu lahir sejak 1,500 SM. Dalam agama Hindu, tidak dapat diketahui secara pasti siapakah pembawa pertama ajaran-ajarannya. Perkataan Hindu yang lazimnya diketahui sekarang dan telah digunakan secara meluas di seluruh dunia, merupakan nama asing kerana nama itu diberikan oleh orang yang bukan Hindu.

 

Menurut ensiklopedia tentang Etika dan Agama Vol. 6, bahawa kata Hindu tidak pernah disebut dalam setiap kesusasteraan India bahkan dalam Kitab sucinya sendiri sebelum orang Islam datang ke India.

 

‘Hindu’ sebenarnya merupakan sebuah kata Parsi yang ditujukan untuk menyebut penduduk di wilayah Lembah Indus. Namun, dalam bahasa umum, Hindu adalah istilah untuk banyak kepercayaan-kepercayaan orang-orang di situ, yang sebahagian besar didasarkan pada Veda, Upanishad dan Bhagavad Gita. Daripada istilah Parsi tersebut selanjutnya dalam bahasa Arab dikenali dengan sebutan Al-Hind iaitu ditujukan pada negeri orang-orang yang tinggal di seberang sungai Indus. Kemudian ketika orang-orang Islam memasuki India mereka memakai istilah tersebut untuk menyebut penduduk India secara umum. Pada Abad ke-13 nama Hindustan dipakai secara meluas untuk menyebut penduduk di wilayah itu.

 

Orang Inggeris yang datang kemudian memanggil mereka sebagai India (daripada bahasa Yunani Indo). Kemudian istilah ‘Hindu’ menjadi sebutan yang lazim sejak abad 16–18. Puncaknya setelah Bangsa Inggeris menguasai India, para pedagang Eropah menggunakan istilah Hindu untuk menyebut agama orang India. Istilah Hindu dibentuk sekitar tahun 1830 untuk menunjukkan budaya dan agama dari India.

 

Menurut ensiklopedia Britanica Vol. 20,  dikatakan bahawa kata Hindu buat pertama kali digunakan oleh penulis Inggeris pada tahun 1830 untuk menggambarkan keadaan agama dan kepercayaan orang India. Kerana kata Hindu itu buat pertama kali digunakan oleh orang Inggeris, maka kerana itu sekarang orang Hindu terpelajar keberatan terhadap penggunaan kata itu. Kata yang paling tepat untuk agama Hindu seharusnya SANATAMA DHARMA yang bermaksud agama yang abadi atau VEDIC DHARMA yang bermaksud agama Veda. Dan menurut Pendeta Swami Vivekananda, pengikutnya seharusnya dinamakan VEDANTISTS yang bermaksud pengikut Veda.

 

Ramalan Ayat Tentang Kedatangan Nabi Muhammad saw

New Delhi, India – Seorang professor bahasa dari UNIVERSITI ALAHABAD INDIA dalam salah satu buku terakhirnya berjudul KALKY AUTAR (Petunjuk Yang Maha Agung) yang baru diterbitkan, memuat sebuah pernyataan yang sangat mengejutkan di kalangan intelektual Hindu. Sang professor secara terbuka dan dengan alasan-alasan ilmiah, mengajak para penganut Hindu untuk segera memeluk agama Islam dan sekaligus mengimani risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw, kerana menurutnya, sebenarnya MUHAMMAD adalah individu yang dinanti-nantikan sebagai individu pembaharu spiritual.

 

Prof. WAID BARKASH (penulis buku) yang masih berstatus pendeta besar kaum Brahman mengatakan, bahawa beliau telah menyerahkan hasil kajiannya kepada 8 pendeta besar kaum Hindu, dan mereka semuanya menyetujui kesimpulan dan ajakan yang telah dinyatakan di dalam buku. Semua kriteria yang disebutkan dalam kitab suci kaum Hindu (Veda) tentang ciri-ciri KALKY AUTAR, sama persis dengan ciri-ciri yang dimiliki oleh Nabi Muhammad saw.

 

Dalam ajaran Hindu disebutkan mengenai ciri KALKY AUTAR di antaranya, bahawa dia akan dilahirkan di jazirah, ayahnya adalah VISHNU-YASH, dan ibunya bernama SUMMATI. Amtim Rishi menyebutkan dalam kitab Puranas mengenai Kalki Autar dan kedatangannya. Disebutkan dalam Baghavata Purana Khand 12 Adhay 2 Shloka 18–20 bahawa di dalam rumah VISHNU-YASH, dalam rumah kedamaian di kampung SHAMBHALA akan dilahirkan Kalki Autar. Diramalkan bahawa dia akan menjadi penguasa dunia dan dia sangat terkenal dengan sifat-sifatnya yang baik dan menonjol. Dia akan diberi tanda-tanda. Dia akan diberikan oleh malaikat kenderaan yang bergerak cepat. Dan dia akan menaiki kuda putih sambil memegang pedang. Dia akan mengalahkan orang-orang jahat. Dan dia akan terkenal di dunia.

 

Dia diramalkan dalam Kalki Purana Bab 2 Ayat 4 bahawa di dalam rumah Vishnu-Yash, pemimpin kampung Shambhala akan lahir Kalki Autar. Kalki Purana Bab 2 Ayat 5 mengatakan dia akan datang berserta 4 orang sahabatnya mengalahkan orang-orang jahat. Kalki Purana Bab 2 Ayat 7 mengatakan bahawa dia akan dijaga oleh para malaikat di medan perang. Kalki Purana Bab 2 Ayat 11 mengatakan bahawa dalam rumah VISHNU-YASH dalam rahim SUMMATI, Kalki Autar akan lahir. Lebih lanjut lagi dalam Kalki Purana Bab 2 Ayat 15 bahawa dia akan lahir pada hari ke-12 yang cerah, pada pertengahan bulan Madhav.

 

Semua ramalan ini merujuk kepada tidak lain tidak bukan melainkan baginda Nabi Muhammad saw. Pertama dia akan lahir di dalam rumah Vishnu-Yash. Bererti bahawa ayahnya adalah Vishnu-Yash. Dan kita tahu bahawa ayah baginda Nabi Muhammad saw adalah Abdullah. Vishnu-Yash bermaksud hamba Tuhan yang dalam bahasa Arabnya disebut Abdullah. Dan ibunya bernama Summati. Summati dalam bahasa Sanskrit bermaksud orang yang sangat setia dan nama ibu Nabi saw ialah Aminah juga sama ertinya sebagai orang yang setia. Dikatakan dia akan dilahirkan di suatu tempat yang bernama Shambhala. Shambhala dalam bahasa  Arab bermaksud tempat yang aman dan damai. Dan kita tahu bahawa baginda Nabi saw dilahirkan di Mekah yang terkenal dengan nama Darul Aman iaitu tempat yang aman dan damai. Seterusnya dikatakan bahawa dia akan lahir di antara ketua suku di Shambhala. Dan kita tahu bahawa Nabi Muhammad saw dilahirkan di rumah ketua suku Mekah. Berikutnya dia akan dilahirkan pada hari ke-12 yang cerah, pada pertengahan bulan Madhav. Kita tahu bahawa Nabi Muhammad saw lahir pada tanggal 12 Rabiul Awwal.

 

Dikatakan bahawa Kalki Autar akan diberikan kenderaan yang bergerak cepat. Dalam Peristiwa Israk  Mikraj, Nabi Muhammad saw diberi Buraq oleh Allah swt yang dengannya beliau Mikraj naik ke langit. Diramalkan dia akan menunggangi kuda putih dan tangan kanannya akan membawa pedang. Kita tahu Nabi Muhammad saw mengambil bahagian dalam pelbagai pertempuran. Sebahagian besarnya adalah untuk mempertahankan diri. Beliau turut serta dalam peperangan sambil menunggang kuda dan pedang di tangan kanannya. 4 orang sahabat yang membantu beliau tidak lain tidak bukan merujuk kepada Abu Bakar ra, Umar ra, Usman ra, dan Ali ra. Dikatakan bahawa beliau akan ditolong oleh para malaikat di medan pertempuran. Dan kita tahu bahawa pertolongan malaikat dalam medan pertempuran diabadikan di dalam Al-Quran berdasarkan Ayat berikut;

 

Ketika engkau berkata kepada orang-orang beriman “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Tuhan kamu membantu kamu dengan tiga ribu tentera (malaikat) yang diturunkan?”

(Surah Ali-‘Imran Ayat 124)

 

Ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia memperkenankan permohonan kamu “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu dari malaikat yang datang berturut-turut”

(Surah Al-Anfal Ayat 9)

 

Jadi, KALKI AUTAR tidak lain adalah Nabi Muhammad saw, sedangkan makna Kalki Autar itu sendiri bererti pembersih dosa yang datang ke dunia.

 

Nabi Muhammad saw diramalkan di Bhavishya Purana dalam Pratisaraq Parv 3, Khand 3, Adhyay 3, Shalokas 10-27;

“Pengikutku adalah laki-laki yang disunat tanpa dikuncir rambut kepalanya, berjanggut, dan akan mendengarkan wahyu, dan menyerukan panggilan untuk beribadah (Azan). Makan segala sesuatu yang halal dan semua binatang kecuali Babi. Mereka tidak akan disucikan dengan tanaman semak/umbi-umbian tetapi mereka menyucikan diri dengan pedang. Akan membuat agama yang membolehkan pengikutnya makan daging”. Pengikutnya dipanggil sebagai Musalman (iaitu perantara kedamaian).

 

Semua ramalan ini tidak merujuk kepada siapa-siapa melainkan kepada Nabi dan Rasul terakhir Nabi Muhammad saw. Dikatakan bahawa musuh akan dikalahkan oleh orang yang bernama Muhammad dan beliau akan membimbing manusia. Dan kita tahu bahawa Nabi Muhammad saw membimbing manusia daripada kegelapan kepada cahaya.

 

Diramalkan bahawa pengikut Nabi ini merujuk kepada orang-orang Islam yang memiliki ciri-ciri seperti berikut: Kepalanya tidak dikuncir, mengurus janggut, mereka akan mendengarkan wahyu, mereka akan mendengar panggilan solat iaitu azan, mereka memakan apa sahaja kecuali daging babi, mereka tidak akan mensucikan diri dengan memakan semak tetapi dengan bertempur, dinamakan Musalman. Mereka akan menjadi umat yang menjadi penegah kebatilan. Semua ramalan ini tidak lain tidak bukan merujuk kepada baginda Nabi saw dan para pengikutnya iaitu orang Islam.

 

Diramalkan dalam Atharvaveda Bk. 20 Hymm 127 Ayat 1-13. Secara ringkas dihuraikan sebagai berikut:

1.   Mantra pertama mengatakan bahawa dia akan disebut NARASANGSA. Dia juga akan disebut KAURAMA. Dia akan dilindungi daripada musuh yang berjumlah seramai 60,090 orang.

2.   Mantra ke-2 mengatakan bahawa dia adalah Reshi yang akan menunggangi unta.

3.   Mantra ke-3 mengatakan bahawa dia adalah MAMA RINSHI

4.   Mantra ke-4 mengatakan bahawa dia adalah REBB.

 

Mantra pertama mengatakan bahawa dia adalah NARASANGSA. Kata NARASANGSA dalam bahasa Sanskrit, diambil daripada kata NARS yang bermaksud orang, sedangkan SANGSA bermaksud yang terpuji. Jadi NARASANGSA bermaksud orang yang terpuji. Kalau kita terjemahkan kata MUHAMMAD ke dalam bahasa Melayu, maka ertinya adalah orang yang terpuji. Jadi kata NARASANGSA itu dalam bahasa Sanskrit bermaksud MUHAMMAD.

 

Kata berikutnya adalah KAURAMA. Apa ertinya KAURAMA. Salah satunya bermaksud orang yang menyebarkan dan mempromosikan kedamaian. Nabi Muhammad saw adalah orang yang menyebarkan dan mempromosikan kedamaian. Erti lain kata KAURAMA ialah seorang yang berhijrah. Nabi Muhammad saw berhijrah dari Mekah ke Madinah. Ramalan yang lain mengatakan bahawa MUHAMMAD akan mengalahkan 60,090 orang musuh dan kita tahu bahawa itu adalah jumlah penduduk Mekah ketika itu.

 

Mantra ke-2 mengatakan bahawa dia akan menunggang unta. Tidak mungkin itu orang India kerana Reshi India (Brahman) tidak boleh naik unta berdasarkan “Sacred Book of the east”, Volume 25, Law of Manu page 472. Menurut Manu Smirti Bab 11 ayat 202 “Seorang Brahman dilarang menaiki unta atau Keldai”.

 

Mantra ke-3 mengatakan bahawa dia adalah MAMA RINSHI. Tak ada Reshi di India bernama “Mamah” yang bermakna “punya harga diri yang mulia”. Kata “Mamah” secara etimologi mempunyai hubungan dengan bahasa Arab “Muhammad” yang bererti “yang terpuji”, sedangkan Mama Rinshi adalah julukan bagi NARASHANGSA, sehingga Mama Rinshi = Narasangsa = Muhammad = Yang Terpuji.

 

Mantra ke-4 menyebut dia dengan REBB yang bermaksud orang yang memuji. Kita tahu Nabi Muhammad saw dipanggil juga dengan sebutan Ahmad yang dalam bahasa Arabnya bererti orang yang memuji.

 

Beliau juga diramalkan dalam beberapa tempat lain di dalam kitab Atharvaveda. Beliau disebutkan dalam Atharvaveda Bk. 20 Hymm 21 Ayat 6. Di situ disebutkan dengan istilah AKKARU yang bererti yang mendapat pujian. Dia akan mengalahkan 10 ribu musuh tanpa pertumpahan darah. Ini merujuk kepada perang Ahzab atau perang Khandaq. Nabi Muhammad saw kita tahu dalam perang Ahzab ini, beliau memenangkan pertempuran ini dengan jumlah bala tentera musuh sebanyak kira-kira 10 ribu orang tanpa berlakunya pertumpahan darah.

 

Diramalkan juga dalam Atharvaveda Bk. 20 Hymm 21 Ayat 7. Disebutkan bahawa ABANDU akan mengalahkan 20 orang penguasa. ABANDU bererti seorang yatim. Ini mengarah kepada Nabi Muhammad saw dan dia akan mengalahkan 20 orang penguasa dan kita tahu di Mekah terdapat kira-kira 20 orang ketua suku. Nabi Muhammad saw di Mekah mengalahkan 20 orang ketua suku tersebut.

 

Baginda Nabi saw disebut juga dalam Rigveda Bk. 1 Hymm 53 Ayat 9. Dalam kitab ini, baginda Nabi saw disebut dengan panggilan SUSLAMA. Kata inipun ini pun bererti orang yang terpuji yang tidak lain merupakan terjemahan daripada kata MUHAMMAD.

 

Nabi Muhammad saw diramalkan dalam Samaveda, Agni mantra 64 sebagai AHMAD. Dikatakan dia tidak disusui oleh ibunya. Ibunya tidak menyusuinya. Setelah itu, beliau diangkat menjadi Nabi dan kita tahu di Arab, diyakini bahawa anak yang disusui oleh ibunya akan mengalami kelemahan dan baginda Nabi saw disebabkan itu disusui oleh Halimah.

 

Terdapat banyak ramalan tentang Nabi Muhammad saw dalam kitab Veda. Beliau diramalkan dalam Samaveda Uttararchika Mantra 150 bahawa Ahmad akan dianugerahkan undang-undang abadi. Sebagaimana telah disebutkan sebelumnya bahawa Ahmad merupakan nama lain bagi Nabi Muhammad saw. Dalam beberapa ayat dinyatakan bahawa Nabi Muhammad saw akan diberikan peraturan hidup abadi yang mengacu kepada Al-Quran. Namun kerana kata Ahmad tidak termasuk kata dalam bahasa Sanskrit, orang yang berbahasa Sanskrit tidak mengerti apakah Ahmad itu sehingga mereka menterjemahkannya menjadi A dan Mahdi. Sehingga apabila diterjemahkan menjadilah saya sendiri. Maka menjadilah saya sendiri yang diberikan aturan hidup abadi. Padahal ia harus dibaca sebagai Ahmad telah diberikan aturan hidup abadi.

 

MUHAMMAD Adalah Reshi Terakhir:

Seperti diketahui, Nabi Muhammad saw adalah seorang Nabi dan Rasul-Nya yang terakhir. Bahkan, nama dan misi kemunculan Beliau telah diramalkan dalam Kitab Bhavishya Purana, Parva 3, Kandha 3, Adhya 3, Sloka 5. Nabi Muhammad diramalkan dalam kitab tersebut sebagai berikut:

 

“etan mitrantare mleccha acaryena samanvitah MAHAMAD itti Khyatah siyyagrasva samanvitah”

Terjemahan: Seorang guru (acarya) yang buta huruf akan datang, namanya Muhammad. Beliau akan mengajarkan agama pada kaum pemuja berhala atau Arca (mleccha)”

 

MUHAMMAD telah dijelaskan sama seperti yang tercantum dalam Al-Quran iaitu nabi ummi (buta huruf) yang berada di tengah-tengah para penyembah berhala. Adanya bukti bahawa nama Nabi Muhammad saw tercantum dalam kitab suci agama Hindu, menunjukkan bahawa agama Hindu pada mulanya adalah agama Tauhid yang dibawa oleh salah seorang Nabi Allah swt. Namun kemudian mengalami perubahan/penyimpangan, sebagaimana yang dialami oleh agama Yahudi dan Kristian.

 

“Dan sesungguhnya, Kami telah mengutuskan dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul bahawa “Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut”

(Surah Al-Nahl: 36)

 

“Dan juga (Kami telah mengutus) beberapa orang Rasul yang Kami telah ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang Kami tidak ceritakan hal mereka kepadamu.”

(Surah An-Nisaa: 164)

 

II. KITAB BUDDHA

Siapakah Sang Buddha?

Sebutan Buddha disandang pertama kali oleh Sidharta Gautama atau sakyamuni, hidup sekitar tahun 623563 SM yang sekaligus sebagai pendiri Buddha.

 

Erti Buddha antara lain:

- Yang Telah Sedar,

- Dia Sang Penemu (Bujjhita) Kebenaran,

- Dia yang telah mencapai Penerangan Sempurna,

- Dia yang memberikan penerangan (Bodhita) dari generasi ke generasi, dll.

 

Diriwayatkan bahawa Sang Buddha mendapat pencerahan ketika melakukan meditasi di bawah pohon Bodi.

 

Generasi pemeluk Buddha pada masa kini jika ditanya tentang adanya Tuhan, maka mereka tidak mengenal atau mengakui bahawa alam semesta ini diciptakan oleh Tuhan. Kerana dalam pemikiran mereka alam semesta ada dengan sendirinya (kehendak alam). Doktrin Buddha lebih menekankan pada sistem etika. Sehingga pada beberapa pendapat bahawa sekilas Agama Buddha dianggap sebagai Ateisme yang luhur. Sementara diyakini bahawa pada zamannya Buddha masih hidup sebenarnya tidaklah demikian.

 

Secara logik jika Sidharta Gautama telah mencapai tingkatan “Buddha”, di mana makna Buddha telah disebutkan di atas iaitu antara lain: Yang Telah Sedar, Sang Penemu (Bujjhita) kebenaran, yang telah mencapai Penerangan Sempurna, yang memberikan penerangan (Bodhita) dari generasi ke generasi, atau kalimat lain yang setara dengan makna: Telah beriman, berserah diri, telah mendapat pencerahan/petunjuk, maka tiada yang patut memiliki hak memberikan Petunjuk, penerangan, pencerahan melainkan kerana adanya suatu Zat yang memberi petunjuk, maka tiada lain zat yang memiliki hak memberi petunjuk kecuali hanya Tuhan Sang pencipta alam itu sendiri. Dengan demikian ketika Sidharta masih hidup, tentu beliau mengakui bahawa keberadaan alam semesta kerana adanya keberadaan Tuhan yang menciptakan alam itu sendiri.

 

Jika sang Buddha seandainya ketika itu lebih banyak diam jika ditanya soal keberadaan Tuhan, hal demikian kerana di India pada ketika itu tenggelam dalam penyembahan berhala akibat menguatnya fahaman falsafah antropomorfisme, iaitu falsafah yang memahami keyakinan bahawa Tuhan dapat menjelma sebagai makhluk. Sehingga pada sisi lain fahaman ini telah melencongkan ajaran asal pada awalnya, iaitu ajaran monotheisme secara drastik. Buddha tidak menyangkal adanya Tuhan. Buddha ketika ditanya oleh salah seorang muridnya, apakah Tuhan itu ada?. Maka Buddha tidak menjawab. Namun kerana selalu mendapat pertanyaan terus-menerus akhirnya beliau mengatakan bahawa:

 

“Jika anda menderita sakit perut akankah anda menumpukan untuk mengurangkan rasa sakitnya atau mempelajari resepi para tabib? Itu bukanlah urusanku untuk mengetahui apakah Tuhan itu ada, urusan kami adalah menghapus penderitaan di dunia”.

 

Pernyataan Buddha yang demikian pada hakikatnya sama dengan ucapan Nabi Musa ketika ditanya oleh kaum Yahudi tentang nama Tuhan. Musa hanya menjawab:

“Namanya adalah: Aku adalah Aku ..”

(Keluaran 3:14)

 

Di mana maksudnya adalah apapun nama Tuhan, lebih penting untuk melaksanakan perintah-NYA daripada sekadar mengetahui nama-NYA.

 

Ramalan Kedatangan Nabi Muhammad saw

Umat Islam mengetahui bahawa Tuhan di dalam Al-Quran memberi pengajaran untuk mengimani bahawa kitab suci yang ada pada Rasul-rasul terdahulu seperti Taurat, Zabur dan Injil merupakan wahyu-Nya, namun sekaligus Tuhan memaklumkan pula di dalam Al-Quran bahawa kitab–kitab suci para Rasul terdahulu itu kini telah tidak suci lagi kerana telah mengalami perubahan (diubah-ubah) dan tercampur dengan tulisan-tulisan manusia. Dan pada ayat lain Tuhan memaklumkan pula bahagian ayat-ayat yang dihapus atau dibiaskan di antaranya iaitu yang berkaitan dengan berita kedatangan seorang Nabi terakhir / akhir zaman (Muhammad SAW).

 

Muhammad Adalah Sang Maitreya Terakhir. Berikut huraiannya:

Menurut seorang pakar sejarah agama bernama Dr.Zakir, terdapat beberapa kalimat dalam ayat-ayat kitab suci Buddha, yang diyakini bahawa ayat-ayat tersebut merupakan firman Tuhan yang masih asli dan yang masih tersisa, yang memberitakan akan kedatangan Nabi akhir zaman, bernama Muhammad.

 

1. Dalam Chakkavatti Sinhnad Suttanta D. III, 76:

“Akan muncul di dunia seorang Buddha bernama Maitreya (yang baik hati), seorang yang suci dan kuat, yang mendapat petunjuk, penuh kebajikan dalam tingkah laku, tepat, dan mengenal alam semesta” .

 

“Apa yang telah dinyatakannya oleh pengetahuan supernatural miliknya akan diterbitkan ke seluruh alam semesta. Dia akan mengkhutbahkan agamanya, mulia dalam keasliannya, mulia pada puncaknya, mulia pada tujuannya, dalam jiwa dan tulisan. Dia akan memproklamasikan kehidupan beragama, murni dan sempurna sepenuhnya, seperti ketika aku sekarang mengkhutbahkan agamaku dan memproklamasikan semacam kehidupan beragama. Dia akan membuat masyarakat rahib berjumlah ribuan, seperti masa kini aku membentuk masyarakat yang berjumlah ratusan”.

 

2. Menurut Sacred Books of the East volume 35 pg. 225:

“Aku bukanlah Buddha satu-satunya yang berkuasa dalam memerintah dan mengatur. Setelahku ada Buddha yang lain, bernama “Maitreya” yang penuh kebajikan akan datang. Aku sekarang hanya memimpin ratusan, sedangkan dia akan memimpin ribuan”.

 

3. Menurut The Gospel of Buddha by Carus pg. 217 and 218 (From Ceylon sources):

Ananda bertanya kepada yang terberkati: “Siapa yang akan mengajar kami setelah engkau pergi?”. Yang terberkati menjawab:

 

”Aku bukanlah Buddha pertama yang datang di atas bumi dan tidak akan menjadi yang terakhir. Pada waktunya seorang Buddha akan muncul di dunia, yang suci, yang sangat mendapat petunjuk, penuh kebajikan dalam tingkah laku, tepat, mengenal alam semesta, seorang pemimpin yang tak tertandingi manusia. Dia akan mengungkapkan kepada anda kebenaran abadi yang sama, yang saya ajarkan. Dia akan mengkhutbahkan agamanya, mulia sifatnya, mulia pada puncaknya dan mulia pada tujuannya. Dia akan mendeklarasikan suatu kehidupan beragama, sepenuhnya sempurna dan murni seperti sekarang saya nyatakan. Murid-muridnya akan berjumlah ribuan sedangkan muridku hanya ratusan”.

 

Ananda bertanya: “Bagaimana kita mengenalnya?” Yang terberkati menjawab: “Dia dikenal sebagai Maitreya”.

 

Kata Sanskrit ‘Maitreya’ atau persamaan dalam bahasa Pali “Metteyya” bermaksud mencintai, penuh kasih, penuh belas kasihan dan murah hati. Hal ini juga bererti kebaikan dan keramahan, simpati, dan lain-lain. Maka dalam kesusteraan Arab, semua kalimat tersebut di atas diwakili oleh satu kalimat yang disebut: ‘Rahmat’. Seperti yang telah diabadikan dalam Surah Al-Anbiya ini:

 

“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (Muhammad), melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.”

(Al-Quran 21:107)

 

Kata ini hampir disebutkan sebanyak 409 kali di Al-Quran. Huruf “Muhammad” juga dieja sebagai “Mahamet” dan berbagai ejaan lain. Kata “Maho” atau “Maha” dalam bahasa Pali dan Sanskrit bererti Agung dan Mulia, dan “Metta” bererti rahmat. Dan dalam bahasa Arab sendiri, Muhammad bererti “Penuh Kasih”. Dengan demikian maka ‘Maitreya’ adalah sama dengan Muhammad.

 

4. Menurut Sacred Books of the East, volume 11, pg. 36 Maha-Parinibbana Sutta Bab 2 Ayat 32:

“Aku telah memberitakan kebenaran tanpa membuat perbezaan antara doktrin exoteris dan isoteris dalam hal kebenaan, Ananda, Tataghata tidak seperti guru yang memiliki kepalan tertutup yang merahsiakan sesuatu di belakang”.

 

Maka perilaku yang demikian sesuai dengan perilaku Nabi Muhammad saw yang dalam menyebarkan ajarannya (Al-Quran) tidak ada yang di sembunyi-sembunyikan. Semua umat Islam dari rakyat biasa hingga raja menerima ajaran yang sama dan dapat membaca kitab suci yang sama secara langsung hingga sekarang.

 

5.Menurut Sacred Books of the East volume 11 pg. 97 Maha-Parinibbana Sutta Bab 5 Ayat 36:

“Arahat-Buddha memiliki Servitor pada zaman dahulu, seperti Ananda adalah Servitorku sekarang, dan di masa datang Arahat Buddha akan ditemani oleh Servitor juga”.

 

Maka, Nabi Muhammad juga memiliki Servitor iaitu “Anas ra” yang merupakan anak dari “Malik ra”. Anas ra diberikan oleh ibu bapanya kepada Nabi Muhammad saw. Anas ra bercerita “Ibuku berkata padanya “O, utusan Tuhan, inilah pembantu kecilmu”, Anas ra melanjutkan “aku melayani Rasul sejak usia 8 tahun dan rasul memanggilku anaknya dan kekasih kecil tersayangnya”.

 

Anas ra menemani Rasul dalam segenap keadaan, baik sakit, gembira, dan masa-masa perang, (berumur 11 tahun ketika perang Uhud dan 16 ketika perang Hunain), ataupun pada masa aman hingga akhir hayatnya.

 

6. Enam kriteria Buddha terakhir yang akan datang ke bumi menurut Buddha Gautama (the Gospel of Buddha by Carus pg. 214:)

TATHAGATA BUDDHA:

1.   Seorang Buddha mencapai pemahaman tertinggi dan sempurna pada waktu malam.

2.   Kelihatan cerah setelah pencerahan yang lengkap.

3.   Seorang Buddha mati dalam kematian yang alami.

4.   Meninggal dunia pada waktu malam.

5.   Tampak terang sebelum kematiannya.

6.   Setelah kematiannya, seorang Buddha tidak ada lagi di bumi.

 

Maka seperti disebutkan di dalam Al-Quran, Nabi Muhammad saw menerima wahyu pada malam hari.

“Demi Kitab yang menerangkan. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam yang berkat.”

(Al-Quran 44:2-3)

 

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada Malam Lailatul-Qadar“.

(Al-Quran 97:1)

 

Kemudian tanda-tanda kenabian Muhammad saw diiringi dan diliputi oleh cahaya terang Surgawi.

Juga Nabi Muhammad wafat dengan cara alami dan nampak terang pada malam kematian beliau. (Riwayat: Aisyah/Anas).

Setelah pemakaman Nabi Muhammad saw, tidak ada lagi Nabi yang diturunkan ke muka bumi ini.

 

7. Menurut Dhamapada “Sacred Books of East vol 10 pg. 67

“Jathagata/Buddha hanyalah pemberi peringatan”,

 

Maka seperti halnya Nabi Muhammad yang hanya pemberi peringatan.

“Oleh itu, berikanlah sahaja peringatan. Sesungguhnya engkau hanyalah pemberi peringatan.”

(Al-Quran 88:21)

  

III. KITAB ZOROASTRIAN (Agama Parsi)

Dalam Kitab Datasir 14,

Berkatalah Susan, Nabi orang Parsi: “Apabila orang-orang Parsi sudah terjerumus dalam budi pekerti yang begitu rendah,” maka seorang akan lahir di tanah Arab” yang pengikut-pengikutnya membalikkan takhta kerajaan agama dan segala barang mereka itu. Seseorang yang berkepala batu yang amat berkuasa di Parsi akan dihalau. Rumah yang didirikan itu, di mana berhala-berhala banyak terdapat di situ akan disucikan daripada berhala-berhala itu, dan banyak orang-orang akan menjalankan solatnya dengan menghadap mukanya ke ka’abah. Pengikut-pengikutnya akan menawan kota-kota Parsi, Taush dan Bulhuh serta lain-lain tempat besar sekelilingnya. Rakyat akan kacau menjadi satu, dan orang pandai-pandai di tanah Parsi akan menggabungkan diri dengannya.”

 

Maka pada tahun 17 Hijrah atau Mei 638 M di bawah pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab, mengarahkan tenteranya menyerbu Parsi, hingga takhta kerajaan Parsi jatuh ke tangan pemerintahan Islam. Rajanya yang kejam melarikan diri ke Asyria. Tepat 29 tahun setelah kedatangan Nabi Muhammad saw.

 

IV. KITAB INJIL

Ajaran Jesus atau ajaran Paulus?

Tidak seperti agama Islam, agama Kristian didirikan bukan oleh seorang melainkan oleh dua orang iaitu Jesus dan St Paul atau Paulus.

 

Paulus bukanlah orang Bethlehem (kota kelahiran Jesus) atau orang aliran Nazarene/Nazorite dan bukan pula orang Jerusalem. Dia tidak pernah berhubungan dengan lingkungan Jesus. Dia bukanlah murid Jesus, juga bukan pula pengikutnya.

 

Paul sezaman dengan Jesus tetapi lebih muda daripada beliau. Paulus merupakan penyebar agama Kristian yang paling terkemuka. Pengaruhnya dalam kepercayaan Kristian sangat besar. Dialah yang mengubah ajaran yang dibawa oleh Jesus dengan wajah baru yang sama sekali berbeza dengan ajaran aslinya. Ironis-nya ajaran inilah yang diikuti hingga ke saat ini oleh umat Kristian seluruh dunia.

 

Berikut adalah 7 perbezaan utama antara ajaran Jesus dan ajaran Paulus :

 

1.   Ajaran Jesus: Jesus adalah utusan Tuhan (Jesus tidak pernah meminta disembah).

Ajaran Paulus: Jesus adalah tuhan.

 

Dalam ajaran Paulus (Kristian), Jesus lebih dipromosikan sebagai Tuhan. Bandingkan dengan pernyataan-pernyataan Jesus yang lebih menonjolkan Allah/Bapa sebagai Tuhan Yang Esa.

 

Inilah hidup yang kekal itu, iaitu bahawa mereka mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Jesus Kristus yang telah Engkau utus.

(Yohanes 17:3)

 

2.   Ajaran Jesus: Tidak membatalkan hukum Taurat, justeru meneruskan hukum Taurat.

Ajaran Paulus: Kristian mengutuk hukum Taurat.

 

Hukum Taurat merupakan sebahagian daripada ajaran Jesus yang wajib dilaksanakan oleh umatnya.

 

"Janganlah kamu menyangka, bahawa Aku (Jesus) datang untuk meniadakan hukum Taurat atau kitab para nabi. Aku datang bukan untuk meniadakannya, melainkan untuk menggenapinya.

(Matius 5:17)

 

Kerana Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya selagi belum lenyap langit dan bumi ini, satu noktah atau satu titikpun tidak akan ditiadakan dari hukum Taurat, sebelum semuanya terjadi.

(Matius 5:18)

 

3.   Ajaran Jesus: Lelaki harus disunat.

Ajaran Paulus : Kristian tidak mewajibkan Sunat.

 

Inilah perjanjian-Ku, yang harus kamu pegang, perjanjian antara Aku dan kamu serta keturunanmu, iaitu setiap laki-laki di antara kamu harus disunat; haruslah dikerat daging kulupmu dan itulah akan menjadi tanda perjanjian antara Aku dan kamu.

(Kejadian 17:10-11)

 

4.   Ajaran Jesus: Meninggal dunia dibungkus kain kafan.

Ajaran Paulus: Meninggal dunia dipakaikan pakaian rapi dan diletakkan di dalam peti.

 

Mereka mengambil mayat Jesus, mengafaninya dengan kain lenan dan membubuhinya dengan rempah-rempah menurut adat orang Yahudi apabila menguburkan mayat.

(Yohanes 19:40)

 

5.   Ajaran Jesus: Tidak membatalkan hukum rejam.

Ajaran Paulus: Tidak ada hukum rejam dalam ajaran Kristian.

 

Musa dalam hukum Taurat memerintahkan kita untuk melempari perempuan-perempuan yang demikian. Apakah pendapat-Mu (Jesus) tentang hal itu?"

(Yohanes 8:5)

 

Dan ketika mereka terus-menerus bertanya kepada-Nya (Jesus), Diapun bangkit berdiri lalu berkata kepada mereka: "Barang siapa di antara kamu tidak berdosa, hendaklah dia yang pertama melemparkan batu kepada perempuan itu." (Yohanes 8:7).

 

6.   Ajaran Jesus: Menerapkan hukum Qisas

Ajaran Paulus: Membatalkan hukum Qisas.

 

Kamu telah mendengar firman: Mata ganti mata dan gigi ganti gigi.

(Matius 5:38)

 

Patah ganti patah, mata ganti mata, gigi ganti gigi; seperti dibuatnya orang lain bercacat, begitulah harus dibuat kepadanya.

(Imamat 24:20)

 

7.   Ajaran Jesus: Tidak ada dosa waris.

Ajaran Paulus: Setiap orang mewarisi dosa Adam

 

Oleh kerana dosa warisan dari Adam tersebut, menurut Paulus, disalibnya Jesus konon untuk menebus dosa-dosa umat manusia. Bandingkan dengan pernyataan Jesus berikut;

 

Orang yang berbuat dosa, itu yang harus mati. Anak tidak akan turut menanggung kesalahan ayahnya dan ayah tidak akan turut menanggung kesalahan anaknya. Orang benar akan menerima berkat kebenarannya, dan kefasikan orang fasik akan tertanggung atasnya.

(Yehezkiel 18:20)

 

Oleh sebab itu, daripada 7 perbezaan yang disebutkan di atas, maka makin jelaslah bahawa umat Kristian masa kini bukanlah pengikut Jesus, melainkan pengikut Paulus.

 

Ramalan tentang Nabi Muhammad saw

1. Disebutkan di dalam Kitab Yesaya Bab 29 Ayat 12:

“Dan apabila kitab itu diberikan kepada seorang yang tidak dapat membaca dengan mengatakan: “Baiklah baca ini,” maka dia akan menjawab: “Aku tidak dapat membaca.”

 

Kita semua sedia maklum bahawa wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw ialah Surah Al-’Alaq Ayat pertama. Ketika Malaikat Jibril memerintahkannya “Baca”, Nabi menyatakan beliau tidak dapat membaca. Situasi ini benar-benar persis seperti apa yang diramalkan dalam pernyataan Kitab Yesaya di atas.

 

2. Nama Nabi Muhammad saw secara jelas disebutkan dalam Kidung Agung (Nyanyian Sulaiman) Bab 5 Ayat 16. Dalam bahasa Yahudi diucapkan sebagai berikut:

“Hikko Mamittakim we kullo MUHAMMADIM Zehdoodeh wa Zehrace Bayna Jerusalem.”

 

Ertinya: “Teramat manis tutur katanya, dia adalah Muhammad yang agung. Inilah kekasihku dan inilah sahabatku, O Putera puteri Jerusalem”

 

Tetapi malangnya, perkataan MUHAMMADIM ini tidak dikekalkan oleh pihak gereja apabila perkataan ini diterjemahkan sebagai yang tercinta.

 

Ayat di atas di atas diterjemahkan sebagai berikut: “Teramat manis tutur katanya, dia adalah yang tercinta. Inilah kekasihku dan inilah sahabatku, O Putera puteri Jerusalem”

 

Sumber terjemahan lain pula menyatakan seperti berikut: “Kata-katanya manis semata-mata, segala sesuatu padanya menarik. Demikianlah kekasihku, demikianlah temanku, hai puteri-puteri Yerusalem.”

 

3. Mungkin ada beberapa orang Kristian yang tidak percaya dengan kesaksian lama. Mereka lebih percaya kepada kesaksian baru, kerana itu lebih penting. Syukur kepada Allah swt bahawa dalam perjanjian baru pun telah diramalkan tentang kedatangan Nabi Muhammad saw. Jika anda baca Yohanes Bab 14 Ayat 16 yang menyatakan:

 

“Aku akan meminta kepada Bapa; dan Dia akan memberikan kepadamu seorang pembawa ketenangan yang lain, supaya dia menyertai kamu selama lamanya”.

 

Tetapi orang-orang Kristian mengatakan bahawa si pembawa ketenangan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada Roh suci. Namun jika anda baca Yohanes Bab 16 Ayat 7 yang menyatakan:

 

“Namun benar yang kukatakan ini kepadamu: Adalah lebih berguna bagi kamu, jika Aku pergi. Sebab jikalau Aku tidak pergi, pembawa ketenangan itu tidak akan datang kepadamu, tetapi jikalau Aku pergi, Aku akan mengutus Dia kepadamu”.

 

Kriteria untuk si pembawa ketenangan itu akan datang ialah bahawa Nabi Isa as haruslah berangkat pergi. Kita tahu bahawa Roh suci sudah ada sebelum Nabi Isa as. Dia bahkan sudah ada jauh sebelumnya. Dia sudah ada ketika Nabi Isa as dibabtis. Jadi tidak mungkin bahawa si pembawa ketenangan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada Roh suci.

 

Dikatakan dengan lebih lanjut dalam Yohanes Bab 14 Ayat 26

“Tetapi si pembawa ketenangan, iaitu Roh Suci, yang akan diutus oleh Bapa dalam nama-Ku, dialah yang akan mengajarkan segala hal kepadamu dan akan mengingatkan kamu akan semua yang telah Kukatakan kepadamu”.

 

Ternyata jika kita mencermati teks-teks Injil yang lama, akan diketahui bahawa kata “Roh suci” sebenarnya adalah penambahan. Maka dalam hal penambahan, seharusnya dilengkapi dengan tanda (), yang menerangkan ia sebagai kata-kata yang telah ditambahkan, atau penekanan yang telah ditambah. Jadi berdasarkan ayat ini tanpa penambahan kata Roh suci, maka dapat dipastikan bahawa pembawa ketenangan yang dimaksudkan di sini ialah Nabi Muhammad saw kerana ajaran beliau merupakan ajaran yang dibawa oleh Jesus atau Nabi Isa as.

 

Sekali lagi, jika anda baca Yohanes Bab 14 Ayat 16 yang menyatakan:

“Aku akan meminta kepada Bapa; dan Dia akan memberikan kepadamu seorang pembawa ketenangan yang lain, supaya dia menyertai kamu selama lamanya”.

 

Pembawa ketenangan seperti yang disebutkan dalam Ayat ini, merupakan terjemahan daripada kata Yunani yang disebut PARACLETOS.

 

Kata AHMAD yang bermaksud “Orang yang memuji” pula apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani disebut PERICLYTOS.

 

Al-Quran mengatakan bahawa Kitab Injil telah mengalami perubahan daripada bentuk aslinya. Oleh kerana itu, kami tidak keberatan untuk menganggap bahawa perubahan tersebut termasuklah perubahan kata PERICLYTOS kepada PARACLETOS, yang oleh pihak gereja diterjemahkan sebagai pembawa ketenangan.

 

Sekiranya kata asal bagi PARACLETOS adalah PERICLYTOS, maka ia selari dengan penyataan yang diberikan oleh Al-Quran melalui Ayat berikut;

 

(Surah As-Saff Ayat 6)

“Dan ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini utusan Allah kepada kamu, mengesahkan apa yang sebelumku, dari Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku, yang bernama Ahmad“

 

4. Jika anda baca dalam Kitab Ulangan Bab 18 Ayat 18

 

“Maka pada masa itu berfirmanlah Tuhan kepadaku, benarlah perkataan mereka itu. Bahawa Aku akan menjadikan bagi mereka itu seorang Nabi di antara segala saudara-saudaranya yang seperti engkau ya Nabi Musa as, dan Aku akan memberikan segala firmanKu dalam mulutnya dan dia pun akan mengatakan segala yang Kusuruh akan dia.”

 

Ini adalah ramalan kedatangan seorang nabi. Tetapi siapakah nabi yang dimaksudkan? Jesus? Atau Nabi Muhammad saw? Orang Kristian mengatakan bahawa Nabi yang dimaksudkan ialah Jesus. Mari cermati riwayat jati diri Nabi Musa as:

 

Nabi Nabi Musa as dilahirkan dari Ayah dan Ibu secara alami (manusia normal), beristeri, meninggal secara alami dan dikubur di dunia. Dan Nabi Nabi Musa as tidak mengalami kebangkitan kembali, dan Nabi Musa as dihormati kaumnya, sementara Jesus tidak. Nabi Musa as memiliki pengikut yang ramai ketika hidup dan pernah berperang dan lain-lain, sementara Jesus berserta pengikutnya tidak ramai dan tidak pernah berperang.

 

Maka dari kriteria di atas, Nabi Muhammad saw yang paling secocok dengan penyataan yang diberikan oleh Ayat di atas.

 

Jika dianalisis, Nabi Muhammad saw dan Nabi Musa as, mereka berdua memiliki kesamaan yang alami. Mereka mempunyai ayah dan ibu. Nabi Isa as sesuai dengan penyataan Al-Quran dalam Surah Ali-Imran Ayat 42 hingga 47 bahawa beliau lahir secara ajaib, tanpa campur tangan laki-laki. Hal itu juga terdapat dalam Matius Bab 1 Ayat 18, dan Lut Bab 1 Ayat 35 bahawa Nabi Isa as lahir secara ajaib. Beliau tidak memiliki ayah.

 

Jika dianalisis lagi, Nabi Musa as seperti Nabi Muhammad saw, tetapi tidak seperti Isa as. Baik Nabi Musa as dan Nabi Muhammad saw, mereka berdua bernikah dan mempunyai anak. Seperti yang tertulis dalam Injil bahawa Nabi Isa as tidak bernikah dan tidak memiliki anak.

 

Baik Nabi Muhammad saw dan Nabi Musa as, mereka mempunyai hal-hal yang alami. Nabi Isa as tidak memiliki hal-hal tersebut, sesuai dengan apa yang dikatakan oleh Al-Quran. Dikatakan dalam Surah An-Nisa Ayat 157 dan 58, dikatakan bahawa Nabi Isa as diangkat dalam keadaan hidup. Beliau tidak meninggal dunia. Menurut gereja, Injil mengatakan bahawa beliau disalib setelah itu dibangkitkan. Daripada keduanya, beliau tidak memiliki hal-hal yang alami. Jadi Nabi Musa as tidak sama dengan Nabi Isa as. Kerana hal-hal seperti inilah, Nabi Musa as dan Nabi Muhammad saw, mereka berdua diterima oleh masyarakat, masyarakat menerima mereka. Dalam Yohanes Bab 1 Ayat 11 mengatakan bahawa Nabi Isa as memiliki masyarakat yang tidak menerimanya. Beliau tidak diterima oleh masyarakatnya.

 

Dan jika anda analisis, Nabi Musa as dan Nabi Muhammad saw selain sebagai Nabi Tuhan Yang Maha Besar, mereka juga merupakan raja. Raja dalam konteks mereka boleh menjatuhkan hukuman bahkan menjatuhkan hukuman mati sekalipun kepada siapapun yang mereka inginkan, yang melakukan kejahatan. Nabi Isa as menyatakan seperti yang disebutkan dalam Yohanes Bab 18 Ayat 36, kerajaan ku bukanlah di dunia ini. Ini bermaksud Nabi Isa as bukanlah pemimpin dunia.

 

Jika anda analisis, Nabi Musa as dan Nabi Muhammad saw, mereka sama. Tetapi Nabi Musa as dan Nabi Isa as mereka tidak sama. Seperti yang sudah dikatakan dalam Injil, Aku akan menjadikan bagi mereka itu seorang Nabi di antara segala saudara-saudaranya. Dan kita tahu orang Yahudi dan orang Arab, mereka bersaudara satu sama lain. Dan dikatakan Aku akan memberikan segala firmanKu dalam mulutnya. Dan kita tahu kalimah-kalimah wahyu yang diterima oleh Nabi Muhammad saw, beliau mengucapkannya berulang-ulang kali. Aku akan memberikan segala firmanKu dalam mulutnya, ini adalah ramalan yang benar-benar secocok dengan Nabi Muhammad saw.

 

Keaslian Ayat-Ayat Dalam Injil Pada Akhirnya Dimunculkan Tuhan Dalam Al-Quran:

(Surah Al-A’raf Ayat 157)

“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah Nabi Ummi, yang mereka dapatinya tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka.“

 

(Surah As-Saff Ayat 6)

“Dan ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini utusan Allah kepada kamu, mengesahkan apa yang sebelumku, dari Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku, yang bernama Ahmad“

 

Semoga menjadi cakerawala ilmu pengetahuan. Salam cahaya-Nya,

 

Karya disunting daripada Hasil Kerja Dr Zakir Naik & Kelana Delapan Penjuru Angin